Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :MACCAMPUS perkasa pendidikan integriti, pencegahan rasuah mahasiswa
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :06/06/2026 | 19:00 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA NERUS: Aplikasi digital dikenali MACCAMPUS yang dilancarkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini bertujuan memperkasakan pendidikan integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT). Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan SPRM mendekati mahasiswa menerusi medium paling dekat dengan gaya hidup generasi muda masa kini, iaitu telefon pintar dan teknologi maklumat. “Kita menyedari senario rasuah dan isu integriti masa kini semakin kompleks. Bagi memastikan keupayaan serta kemampuan SPRM mendekati golongan mahasiswa diteruskan secara konsisten dan berimpak menuntut pendekatan pendidikan yang lebih inovatif, interaktif dan berpaksikan teknologi. “Di sini letaknya kepentingan aplikasi MACCAMPUS. Nama ini bukan sekadar jenama sebaliknya gabungan simbolik yang melambangkan sinergi strategik antara SPRM dengan komuniti mahasiswa di IPT,” katanya.  Abd Halim berkata demikian semasa berucap pada Program Literasi Kewangan Integriti @ Antirasuah Mahasiswa 2026 di Dewan Sultan Mizan UMT di sini hari ini yang turut dihadiri Pro Canselor UMT Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Naib Canselor UMT Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim. Beliau berkata MACCAMPUS akan menjadi pusat pengurusan data dan aktiviti Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) selain akan terus dikembangkan sebagai platform pertandingan, projek mini, forum akademik serta perkongsian idea dan penyelidikan antara AMAR di lebih 120 institusi pengajian tinggi terlibat. “Saya menyeru seluruh mahasiswa memanfaatkan aplikasi ini sebaik mungkin. Melalui modul, forum dan diskusi akademik, mahasiswa boleh berkongsi idea, membuat refleksi serta berdiskusi secara ilmiah. “Inilah ruang berdebat secara sihat, mencabar status quo dengan hujah yang bernas serta membezakan antara fakta dan propaganda yang boleh memesongkan pemikiran. “Jadikan MACCAMPUS sebagai sumber literasi maklumat dan ruang untuk merungkai pelbagai persoalan berkaitan integriti dan antirasuah. Saya percaya melalui MACCAMPUS, kita mampu membina komuniti digital yang proaktif, kreatif, kritis dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran integriti pada masa hadapan,” katanya. MACCAMPUS yang dibangunkan SPRM merupakan aplikasi pendidikan antirasuah dan integriti pertama seumpamanya selain berpotensi menjadi platform berteraskan teknologi serta intelektual yang menggabungkan elemen pendidikan, simulasi, gamifikasi, kecerdasan buatan (AI) dan kolaborasi akademik. Ia bukan sahaja mendidik mahasiswa tentang integriti serta antirasuah tetapi juga membina komuniti digital yang proaktif, kreatif dan kritikal. Menerusi aplikasi itu, mahasiswa dijangka akan lebih berpengetahuan, berani membuat keputusan beretika dan mampu menjadi ejen perubahan yang memacu budaya integriti di kampus serta masyarakat. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035