Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Anak tempatan kekal dominan di universiti awam - IPPTN
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :08 Julai 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
GEORGE TOWN - Pelajar tempatan kekal sebagai kumpulan dominan di universiti awam dengan 96.56 peratus enrolmen prasiswazah, sekali gus membuktikan keutamaan kepada anak tempatan masih terpelihara. Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Prof Madya Dr Thein Lei Mei berkata, data Kementerian Pendidikan Tinggi bagi 2026 menunjukkan pelajar antarabangsa di universiti awam hanya 56,565 orang iaitu 8.9 peratus daripada keseluruhan enrolmen dan hanya 3.44 peratus di peringkat prasiswazah. "Data prasiswazah jelas menunjukkan pelajar tempatan kekal sebagai kumpulan dominan di universiti awam dan kehadiran pelajar antarabangsa pada kadar 3.44 peratus di peringkat prasiswazah tidak boleh secara munasabah dilihat sebagai tekanan besar terhadap peluang pelajar tempatan. "Pada masa sama, pelajar antarabangsa tidak boleh dinilai hanya sebagai angka enrolmen. Dalam ekosistem pendidikan tinggi moden, mereka adalah sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Thein berkata, kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat ijazah tinggi menyumbang kepada penyelidikan, penerbitan akademik, pembangunan kepakaran, pertukaran ilmu dan kerjasama rentas negara. Beliau berkata, pelajar antarabangsa turut memberi limpahan ekonomi melalui pembayaran yuran pengajian, penginapan, makanan, pengangkutan, insurans, perkhidmatan harian dan aktiviti pelancongan pendidikan yang memberi manfaat kepada universiti, komuniti setempat serta sektor perumahan dan perkhidmatan. "Bagi universiti awam pula, pendapatan daripada pengantarabangsaan turut membantu memperkukuh kelestarian institusi kerana sumber itu boleh menyokong penambahbaikan makmal, perpustakaan, kemudahan pembelajaran, prasarana kampus, perkhidmatan pelajar dan aktiviti penyelidikan,” katanya. Thein berkata, prasiswazah berkait rapat dengan akses, mobiliti sosial dan peluang anak tempatan memasuki universiti awam manakala pascasiswazah pula berperanan dalam penghasilan ilmu, penyelidikan, kepakaran tinggi dan jaringan akademik antarabangsa. "Oleh itu, mencampurkan kedua-dua kategori ini untuk membuat rumusan umum tentang persaingan tempat adalah tidak tepat dari sudut dasar. "Perbahasan mengenai pelajar antarabangsa di universiti awam tidak wajar digerakkan oleh persepsi semata-mata, sebaliknya perlu dibaca melalui lensa data, dasar dan struktur pendidikan tinggi negara. Kebimbangan masyarakat mengenai peluang pendidikan anak tempatan adalah wajar diberi perhatian,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, isu pelajar antarabangsa tidak seharusnya dibingkaikan sebagai pertentangan dengan pelajar tempatan kerana kedua-duanya saling melengkapi dengan pelajar tempatan kekal menjadi keutamaan nasional manakala pelajar antarabangsa memperkukuh dimensi global, penyelidikan, ekonomi dan reputasi universiti awam. Sebelum ini, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendakwa kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam telah mengurangkan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian. - Bernama
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035