Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Wujudkan pusat sehenti himpun agensi hal ehwal Islam bawah satu bumbung - Sultan Pahang
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :29 Julai 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan negeri meneliti pewujudan Pusat Pentadbiran dan Perkhidmatan Islam Pahang (PPIP) sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan agensi hal ehwal Islam di bawah satu bumbung. Baginda bertitah, inisiatif itu mampu memperkukuh penyelarasan antara agensi, memudahkan akses rakyat kepada pelbagai perkhidmatan Islam serta mewujudkan sistem penyampaian yang lebih cekap, pantas dan bersepadu selaras dengan aspirasi pembangunan negeri ini. Menurut baginda, sesebuah institusi diukur melalui keupayaannya menyampaikan perkhidmatan yang cekap, responsif dan berorientasikan rakyat, namun hal ehwal Islam di negeri ini masih dilaksanakan di beberapa lokasi berasingan sekali gus menyukarkan rakyat mendapatkan perkhidmatan secara menyeluruh. "Sudah tiba masanya sistem penyampaian perkhidmatan ini ditransformasikan melalui pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh," titah baginda menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook Kesultanan Pahang. Baginda bertitah demikian ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-199 di sini pada Selasa. Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Sementara itu, dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah mengingatkan MUIP memikul amanah besar dalam menerajui serta menjadi penasihat kepada baginda dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini. Baginda menegaskan setiap keputusan hendaklah berteraskan maqasid syariah, dipandu oleh hikmah serta sentiasa mengutamakan maslahah ummah dan kepentingan agama. Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada MUIP serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) atas kejayaan melaksanakan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan masjid dengan bimbingan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). “Inisiatif ini merupakan satu anjakan penting dalam memperkukuh budaya kecemerlangan organisasi, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan serta membuktikan bahawa kerjasama strategik antara agensi mampu menghasilkan reformasi yang memberi manfaat kepada umat Islam. “Saya berharap inisiatif ini akan diperluaskan secara sistematik ke seluruh ekosistem perkhidmatan hal ehwal Islam. Setiap proses kerja hendaklah sentiasa dinilai, dipermudah dan ditransformasikan agar penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap, responsif dan berorientasikan keperluan rakyat,” titah baginda.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035