Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Hasimi Muhamad
Title :Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM150 juta percepat projek perumahan generasi baharu Felda
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication : 07/07/2026 | 16:10 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi mempercepat pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), termasuk menyiapkan projek yang tertangguh. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelulusan itu membuktikan komitmen kerajaan bukan sekadar mengumumkan dasar, sebaliknya memastikan projek yang memberi manfaat kepada generasi baharu Felda dapat dilaksanakan dengan segera. "Dengan ini, bagi menyiapkan projek perumahan Generasi Baharu Felda, saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta. Hari ini saya tidak mahu umum dasar, saya mahu umum projek yang berjalan, bahawa kerajaan ini melaksanakan janji," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di Maran, pada Selasa. Perdana Menteri berkata projek PGBF yang bermula pada 2013 melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak. Anwar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,458 unit di 12 tapak atau 29.8 peratus telah siap dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala 2,546 unit di 13 tapak lagi sedang dalam pembinaan. Menurut beliau, beberapa projek disasarkan siap secara berfasa sepanjang tahun ini, antaranya di Bersai, Perak (102 unit), Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (70 unit). Katanya, projek lain yang akan diteruskan termasuk di Sungai Koyan, Pahang (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit), diikuti projek di Kerteh, Terengganu (110 unit). Perdana Menteri turut mengarahkan pihak pengurusan Felda meneliti kelewatan pelaksanaan projek dan mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh dua bulan bagi mengenal pasti punca serta langkah penyelesaian. Selain itu, beliau mengumumkan kerajaan memberi kelulusan serta-merta bagi membolehkan kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina menikmati sambungan utiliti asas seperti bekalan elektrik dan air. Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua unit terbabit, manakala kerajaan negeri akan menyelaras penyediaan bekalan air.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035