Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pahang berjaya noktah kemiskinan tegar - Wan Rosdy
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :19/08/2026 | 13:20 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Statistik Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan pada 19 Feb apabila kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Jan 2026 dikeluarkan daripada status itu. Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pahang turut berjaya mengurangkan kemiskinan sebanyak 30 peratus apabila 4,263 daripada 14,210 KIR berstatus miskin pada 5 Jun dikeluarkan daripada kelompok itu. “Penentuan status ini berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.  Wan Rosdy berkata antara faktor utama kejayaan itu ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan selain perubahan pendapatan serta saiz isi rumah. Beliau berkata kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar manakala kategori miskin merujuk kepada kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar. Selain itu, Wan Rosdy berkata antara faktor mempengaruhi status sebuah keluarga ialah perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah termasuk anak yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan.  “Pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai. Sebaliknya, ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi berterusan,” katanya.  Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan mengurangkan kemiskinan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai seluruh rakyat Pahang.  Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap keluarga yang berada dalam kategori miskin dan miskin tegar dalam senarai eKasih terus dibantu mengikut keperluan mereka. “Kita bukan sekadar mahu mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi lebih penting memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan lebih kukuh dan menikmati kehidupan lebih sejahtera,” katanya.  -- BERNAMA   
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035