|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PUTRAJAYA: Proses pembelajaran di institusi pendidikan tinggi (IPT) setakat ini tidak terjejas akibat jerebu susulan pelaksanaan sistem pembelajaran yang lebih anjal.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian sekiranya pelajar tidak dapat menghadiri kuliah secara fizikal.
“Setakat ini, dari segi terjejasnya tidak ada kerana proses kita menggunakan pendekatan yang lebih anjal.
“Kalau mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat secara dalam talian kepada mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tajaan kepada Pelajar Terbaik STPM 2025, di sini, pada Isnin.
Pada masa sama, semua IPT termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti telah dimaklumkan supaya terus memantau perkembangan jerebu, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Kita telah memaklumkan kepada institusi pendidikan tinggi, universiti, politeknik dan juga kolej komuniti untuk sentiasa memantau, khususnya di kawasan Sabah dan Sarawak yang terkesan serius.
“Kita mengikuti perkembangan ini dan akan memastikan setiap proses pembelajaran pelajar, di mana-mana pun, berasaskan arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Kemas kini portal Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 3 petang pada Isnin menunjukkan dua kawasan di Sarawak, iaitu IPD Serian dan Samarahan, masing-masing mencatatkan IPU sangat tidak sihat iaitu 253 dan 233.
Sebanyak 40 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, dengan 10 daripadanya di Sarawak.
Manakala beberapa kawasan di Sabah juga mencatatkan IPU tidak sihat, antaranya Politeknik Kota Kinabalu dengan bacaan 159.
Enam kawasan di Selangor yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Johan Setia (187), Shah Alam (167), Klang (160), Kuala Selangor (159), Banting (158) dan Petaling Jaya (157).
Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah tiga kawasan di Negeri Sembilan, empat di Johor, tiga di Melaka dan satu kawasan di Pahang.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |