Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Norawazni Yusof
Title :Pahang ungguli pasaran kerja
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :03 Ogos 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Pahang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 65.3 peratus, tertinggi di Pantai Timur, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 1.9 peratus bagi suku pertama 2026. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif dalam pasaran buruh negeri selain peningkatan penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi. Bagaimanapun, katanya, cabaran pasaran pekerjaan kini bukan lagi sekadar menyediakan peluang kerja, sebaliknya memastikan tenaga kerja memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri. “Pelaksanaan program MYFutureJobs bertujuan memberikan pulangan yang baik kepada golongan muda dengan memastikan mereka memperoleh peluang pekerjaan melalui kaedah terbaik yang diiktiraf kerajaan. “Paling penting, MYFutureJobs bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah turut menawarkan latihan yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC), di sini, pada Ahad. Karnival berkenaan dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Dalam program sama, Khairul Akhbar turut menyempurnakan pelancaran Sahabat Madani bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi. Menerusi program itu, Khairul Akhbar berkata, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan disediakan sebagai usaha membantu pencari kerja memperoleh pekerjaan yang bersesuaian. Menurutnya, MYFutureJobs turut disokong melalui penyediaan latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula yang disesuaikan dengan keperluan industri. “Tidak banyak negara di luar sana yang menyediakan peluang sebegini. “Ini merupakan antara gerakan lapangan bagi memastikan tiada pengangguran yang ketara berlaku di negara kita, khususnya di Pahang,” katanya. Beliau berkata, latihan yang disediakan perlu benar-benar memenuhi keperluan industri supaya memberi manfaat kepada tenaga kerja. “Tanpa memahami keperluan industri, latihan itu hanyalah sekadar latihan yang syok sendiri,” katanya. Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, Sahabat Madani merupakan inisiatif bagi memperkukuh semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia. Menurutnya, gerakan komuniti itu bertujuan menyampaikan aspirasi kerajaan Madani selain mengenal pasti keperluan masyarakat di peringkat akar umbi. “Dalam masa sama, kita mahu membudayakan semangat saling membantu, menyantuni mereka yang memerlukan, meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memperkukuh perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya. Beliau berkata, sasaran penyertaan 2,000 Sahabat Madani Pahang berjaya dicapai, namun usaha menarik lebih ramai anak muda menyertai gerakan berkenaan akan diteruskan.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035