Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Masa depan pendidikan tinggi negara tuntut keperluan AUKU diteliti semula - Zambry
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :26 Ogos 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR - Masa depan pendidikan tinggi negara menuntut keperluan untuk melihat semula akta-akta berkaitan pendidikan tinggi secara menyeluruh, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah meneliti serta menambah baik kerangka undang-undang sedia ada penting, bagi memastikan ekosistem pendidikan tinggi kekal relevan dan tidak terus dikongkong oleh peraturan lama. "Kita perlu melihat semula keberadaan akta-akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi ini...antara akta yang sentiasa menjadi tumpuan sudah tentu AUKU itu sendiri. "Kita akui ada kekangan dan kongkongan yang wujud sebelum ini. Sebab itu kita sedang meneliti aspek-aspek baharu, termasuklah dari segi jaminan kebebasan akademik, kebebasan bersuara serta pemberdayaan mahasiswa,” katanya di sini pada Rabu. Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 13, Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya malam ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Forum berkenaan turut menampilkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tengku Datuk Mohd Azzman Shariffadeen sebagai panel, manakala Anwar bertindak sebagai moderator. Dalam pada itu, Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mempertimbangkan penggubalan akta baharu seperti One Higher Education Act, bagi menyelaraskan pelbagai akta berkaitan pendidikan tinggi di bawah satu kerangka yang lebih menyeluruh. Bagi merealisasikannya, beliau berkata, sebuah jawatankuasa bebas telah ditubuhkan, bagi mengumpul serta menilai pelbagai memorandum dan pandangan daripada golongan akademik serta wakil mahasiswa. Sementara itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited memperluas akses sistem pendidikan negara menerusi pendekatan 'pendidikan manusiawi' bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang pembelajaran yang saksama. Beliau berkata, KPM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip, bahawa akses pendidikan perlu sampai kepada semua murid tanpa mengira lokasi atau keberadaannya. "Pendidikan manusiawi lahir untuk merentas pelbagai bakat dan potensi anak-anak kita. Sebab itu inisiatif seperti Sekolah Dalam Hospital (SDH), sekolah di pusat pemulihan serta model Sekolah K9 dan K11 bagi murid Orang Asli, terus diperkasakan. "Pada masa sama, akses prasekolah turut diperluas secara besar-besaran secara percuma, kerana pendidikan bermula pada peringkat awal, selain membantu meringankan beban kewangan keluarga,” katanya. Fadhlina berkata, sistem pendidikan negara tidak seharusnya berorientasikan gred peperiksaan semata-mata atau sekadar menyediakan modal insan untuk pasaran kerja, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembentukan insan yang seimbang, berwawasan serta mempunyai ketahanan mental dan nilai moral yang kukuh. "Anak-anak bukan sekadar nombor atau gred peperiksaan. Mereka hadir ke sekolah bersama intelek, emosi, cita-cita dan ada yang datang dengan keresahan mahupun kekurangan yang perlu kita santuni," katanya. - Bernama
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035