|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi antara lima daripada 147 agensi Persekutuan yang mempunyai baki geran pembangunan tertinggi bagi tahun 2023.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, Mara memiliki baki geran penganjuran pelajaran, usahawan dan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 yang sudah mempunyai komitmen tetapi belum dilunaskan.
Selain itu, terdapat lebihan baki geran projek telah selesai / batal / tangguh yang sedang dalam permohonan kelulusan kerajaan Persekutuan, sama ada dipulangkan semula atau kegunaan tujuan lain.
Agensi tersebut merekodkan baki geran pembangunan bernilai RM2.39 bilion manakala pelunasan bagi 2023 pula ialah RM2.78 bilion.
Sementara itu UNIMAS pula merekodkan baki geran pembangunan bernilai RM1.26 bilion manakala pelunasan sebanyak RM56 juta.
Insititusi pendidikan itu mempunyai baki geran pembangunan dalam bentuk aset tetap dan projek dalam pelaksanaan, manakala tempoh pelunasan geran aset tetap bergantung kepada anggaran hayat kegunaan aset berkenaan.
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merekodkan baki geran pembangunan bernilai RM1.11 bilion termasuk RM651.16 juta disalurkan kementerian pada Disember 2023 yang akan dibelanjakan tahun berikutnya.
Penulasan yang dicatatkan bagi 2023 pula berjumlah RM1.31 bilion.
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mencatatkan baki geran pembangunan bernilai RM1.04 bilion, termasuk RM831.37 juta yang dibelanjakan terhadap 21 projek pembangunan masih dalam kemajuan dengan pelunasan dilaksanakan selepas projek siap sepenuhnya.
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pula memiliki baki geran pembangunan bernilai RM930 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di bawah Projek RMK9 hingga RMK12, pelaksanaan projek sektor swasta dan pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Bumiputera.
Baki berkenaan termasuk RM596.31 juta bagi lapan projek pembangunan masih dalam kemajuan dengan pelunasan akan dilaksanakan selepas projek siap dan diserahkan kepada pihak ketiga. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |