|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mahu kepimpinan dalam Persatuan Pandu Puteri bukan sekadar melatih kebolehan memimpin, tetapi turut menitikberatkan adab serta nilai-nilai murni dalam kalangan ahlinya.
Baginda yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang bertitah, budaya sopan dan penghormatan terhadap adat perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Di dalam Pandu Puteri, kita bukan sahaja diajar bagaimana untuk memimpin, tetapi juga tentang adab, adat resam dan nilai-nilai murni. Budaya kita penuh dengan adab dan adat yang perlu dipelihara," titah baginda
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Hari Peringatan Sedunia Peringkat (WTD) Kebangsaan 2025 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, di sini, pada Ahad.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama hampir 1,500 peserta daripada 16 kontinjen seluruh negara.
Tunku Azizah bertitah ahli Pandu Puteri hari ini bakal menjadi pemimpin dan ibu pada masa depan, justeru penting untuk mereka mengekalkan tatasusila.
"Suatu hari nanti, kalian semua akan menjadi pemimpin dan ibu yang akan mendidik generasi seterusnya.
"Oleh itu, kita mesti menjadi contoh yang baik dalam kepimpinan dan juga dalam kehidupan sebagai seorang ibu," titah baginda.
Baginda turut menegaskan Pandu Puteri adalah salah satu daripada beberapa persatuan di dalam negara yang tetap menjaga keharmonian kaum dengan keahlian dari pelbagai budaya dan bangsa.
"Kita adalah sebuah negara berbilang kaum. Dalam Pandu Puteri, kita juga berbilang kaum. Kita tidak peduli sama ada anda Cina, India, Melayu atau orang asa dan kita semua bersatu sebagai satu pasukan.
"Jadi, ingatlah bahawa dalam Pandu Puteri, tidak ada perbezaan agama ataupun kaum. Kita bukan bersifat perkauman. Ini semua adalah penting untuk memajukan sebuah negara yang berbilang kaum," titah baginda.
Dalam pada itu, Tunku Azizah turut menzahirkan rasa syukur kerana semua kepimpinan dan ahli Pandu Puteri dapat berkumpul bagi meraikan WTD peringkat kebangsaan pada tahun ini.
Saya merasa amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran semua kontinjen ke Negeri Pahang Darul Makmur," titah baginda. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |