Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
UMPSA
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Norawazni Yusof
Title :Tengku Hassanal berkenaan rasmi Masjid Al-Jazari
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :18 Mac 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenaan merasmikan masjid Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini sebagai Masjid Al-Jazari sempena nama seorang ahli sains dan tokoh jurutera Muslim terkemuka pada abad ke-12. Keberangkatan baginda sebagai Pro-Canselor UMPSA turut diiringi Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias, barisan Lembaga Pengarah Universiti dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA serta warga UMPSA. Tengku Hassanal turut berkenan mengurniakan sumbangan duit raya dari Yayasan UMPSA kepada 100 pelajar UMPSA yang berkeperluan. Baginda turut menyaksikan kurniaan sumbangan daripada Yayasan UMPSA dalam memperkasa pendidikan serta kebajikan pelajar dengan mengagihkan sebanyak RM6.206 juta bagi pelbagai inisiatif sokongan akademik dan kebajikan. Dana ini disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk Penajaan Biasiswa, Bantuan Zakat, Bantuan Sara Diri, Kupon Makanan serta pelaksanaan program pembangunan pelajar yang bertujuan meningkatkan nilai tambah dan daya saing pelajar. Baginda turut menyaksikan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Lembaga Tabung Haji, Maybank Islamic Berhad dan UMPSA Holdings Sdn Bhd untuk diagihkan kepada pelajar miskin, asnaf serta pelajar dari keluarga B40. Seramai 2000 warga UMPSA bersama Tengku Hassanal bagi menandakan semangat ukhuwah dan kebersamaan antara institusi akademik dan masyarakat dalam menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan. Dalam ucapan, Yatimah berkata, keberangkatan baginda jelas mencerminkan keprihatinan dan kecintaan terhadap pengembangan pendidikan serta pemartabatan syiar Islam di Pahang. Menurutnya, masjid UMPSA yang dibina di atas tanah seluas 7.5 ekar telah siap dibangunkan selepas tujuh tahun pembinaan. "Masjid ini telah mula beroperasi dengan pelaksanaan solat Jumaat pertama pada 5 Julai 2024 dan mampu menampung sehingga 3,500 jemaah dalam satu masa. "Selain ruang solat utama, masjid ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang solat wanita, bilik pengurusan jenazah, bilik seminar, pejabat Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), serta kawasan parkir yang luas," katanya. Yatimah mengharapkan agar masjid ini bukan sahaja menjadi pusat ibadah bagi warga UMPSA tetapi turut dimanfaatkan oleh komuniti setempat sebagai pusat penyatuan ummah. "Semoga semangat inovasi Al-Jazari dapat menjadi inspirasi bagi pelajar dan staf UMPSA dalam meneruskan pencapaian dalam bidang kejuruteraan dan teknologi," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035