Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Awani
Title :Kerjasama dengan UKM, kini hanya 20 saat kesan dadah dalam sampel urin - Ayob Khan
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :26 Mac 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BANGI - Dari dua hari, kini boleh mengesan dadah dalam sampel urin hanya sepantas 20 saat. Kecanggihan kit ujian biosensor untuk mengesan bahan terlarang menerusi mesin Tims-Tof ini merupakan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, teknologi ini merupakan satu perkara baharu untuk mengesan jenis-jenis dadah. “Kerjasama ini bukan hanya langkah pertama dilaksanakan di dalam negara, malah ia meliputi peringkat global. Sebanyak enam pakej kerja dirangka merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, data dan pembangunan keupayaan. “Antara fokus utama adalah pembangunan strip ujian biosensor, pangkalan data forensik molekul dan analisis residu dadah dalam sistem kumbahan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik di antara PDRM dan UKM, di sini, pada Rabu. Ayob Khan menegaskan, ini petanda untuk memperkasa penguatkuasaan negara bagi meningkatkan kecekapan dalam mengenal pasti ancaman dadah dengan pendekatan saintifik. “Program ini turut membuka ruang kerjasama antarabangsa yang lebih strategik, terutamanya dengan agensi seperti Polis Antarabangsa (Interpol) serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam menangani jenayah narkotik rentas sempadan,” ujarnya. Tambahnya, sembilan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah dipilih untuk menjalankan penyelidikan secara separuh masa di bawah bimbingan pakar dari UKM. Kesemua pegawai diberi tanggungjawab sebagai pusat rujukan utama dan bakal diiktiraf sebagai pakar rujuk subjek (Subject Matter Expert, SME) dalam bidang narkotik. "Satu Jawatankuasa Pemandu turut ditubuhkan bagi memantau keberkesanan program ini dan saya sendiri selaku Timbalan Ketua Polis Negara diberi amanah untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan," katanya. Dalam masa sama, beliau memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut meluluskan peruntukan RM8.4 juta bagi menjayakan program ini. Dana berkenaan penting bagi memastikan setiap pakej kerja dapat dilaksanakan dengan lancar serta menyumbang kepada hasil yang berimpak tinggi. Ayob Khan menambah, bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, PDRM ingin memohon dana tambahan berjumlah RM80 juta. - Awani
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035