Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Roshila Murni Rosli
Title :Pelajar UUM disaran kuasai empat bahasa – Johari
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :13 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUBANG PASU – Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai strategi penting untuk bersaing dalam pasaran kerja global yang semakin mencabar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka sebagai graduan. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, peluang menuntut di institusi pengajian tinggi perlu dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk kecemerlangan akademik tetapi juga bagi membina keupayaan komunikasi pelbagai bahasa. “Cuba kuasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan dan Bahasa Arab, contohnya. “Kalau kamu kuasai banyak bahasa, kamu tidak akan pernah salah. Semua majikan akan mencari pelajar UUM kerana kamu ada kelebihan itu. Universiti juga patut mewajibkan pelajar ambil empat bahasa. Saya percaya Tuhan jadikan otak kita tanpa had,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Outreach Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM, pada Sabtu. Johari dalam masa yang sama turut menasihatkan pelajar agar tidak hanya fokus pada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut membina kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, jaringan antarabangsa dan nilai integriti. “Kepimpinan bermula dengan keberanian keluar dari zon selesa. Kuasai bahasa, perluas jaringan dan jadilah pemimpin yang relevan dalam era digital,” katanya. Menurutnya, lawatan sambil belajar ke luar negara juga perlu diperbanyakkan oleh pelajar UUM bagi meluaskan perspektif dan pengalaman. “Mahu atau tidak, kamu kena keluar melihat dunia. Jangan terikat dengan sistem semata-mata,” ujarnya lagi. Mengulas tentang akses pendidikan, beliau yakin bahawa perkembangan teknologi maklumat membolehkan semua pelajar, sama ada di bandar mahupun luar bandar, mempunyai peluang sama rata dalam menuntut ilmu. “Akses internet sudah ada di kebanyakan tempat. Ia bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan teknologi itu. Tiada alasan lagi untuk tidak berjaya,” katanya. Dalam sesi soal jawab bersama pelajar, Johari turut menasihati mereka yang bercita-cita menceburi dunia politik agar melengkapkan diri dengan pencapaian akademik yang cemerlang serta penampilan diri yang meyakinkan. “Anda bukan sahaja akan ditanya oleh ribuan rakyat, tetapi juga oleh Tuhan apa yang telah anda lakukan ketika anda diberi kuasa? Jadilah wakil rakyat yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya mengakhiri sesi tersebut. Johari sebelum itu meluangkan masa mengunjungi Anjung Tamu UUM dengan diiringi oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035