|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, melakukan 32 serbuan ke atas kilang pemprosesan kayu di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara 11 Februari hingga 20 Mei lalu, membabitkan rampasan bernilai RM97 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya melancarkan Op Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) siri satu dan dua, membabitkan serbuan ke atas 18 premis iaitu dua di Terengganu dan 16 di Kelantan.
"Operasi membawa kepada penangkapan 53 individu dan rampasan pelbagai jenis kayu dan barangan dianggar bernilai RM66 juta," katanya pada sidang media di PGA Briged Tenggara, Kem Bukit Galing di sini, hari ini.
Beliau berkata, Op Sawmill siri ketiga membabitkan 14 serbuan ke atas tujuh premis di Pahang manakala bakinya di Terengganu dan Kelantan.
"Sebanyak 45 tangkapan dilakukan dengan rampasan dianggar bernilai RM30 juta. Daripada jumlah itu, 18 individu adalah warganegara Malaysia dan dibebaskan dengan jaminan manakala 27 lagi membabitkan warga asing yang masih direman," katanya.
Azmi berkata, antara warga asing yang ditahan ialah enam warga Myanmar, Bangladesh (tujuh), Indonesia (12) dan masing-masing seorang warga Nepal dan India.
Beliau berkata, PGA mengenal pasti 11 kesalahan dalam operasi terbabit dan kes disiasat antaranya mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Perhutanan Negara 1984, Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.
"Berdasarkan siasatan bersama Jabatan Perhutanan, ada premis memiliki lesen sah tetapi serbuan kali ini menunjukkan bukti pelanggaran undang-undang.
"Ada satu premis yang pada awal risikan didapati tidak mematuhi syarat lesen tetapi semasa serbuan dijalankan, lesen telah diperbaharui dan mereka patuhi syarat, jadi tiada tindakan diambil," katanya. – BERNAMA
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |