Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :JKM Pahang cadang Asmawi diberi rawatan berkala
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :20 Mei 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sudah mengadakan perbincangan dengan keluarga bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang dikatakan tidak siuman. Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, perbincangan membabitkan masa depan lelaki berkenaan yang kini sedang menerima rawatan di wad psikiatrik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini. Beliau menjelaskan, pihaknya mendapati keluarga Mohamad Asmawi yang menetap di Kemaman, Terengganu dilihat begitu mengambil berat mengenai keadaan lelaki terbabit yang sebelum ini dilihat berada di kawasan Taman Kerang, di sini. Katanya, keluarga lelaki berkenaan sudah berbincang dengan pihak hospital yang mencadangkan supaya menempatkan Mohamad Asmawi di pusat jagaan yang bersesuaian bagi membolehkan rawatan dapat diteruskan selepas dia dibenarkan keluar daripada hospital. "JKM Kuantan sudah merujuk kes bekas pemain hoki kebangsaan itu ke JKM Kemaman bagi tujuan perkhidmatan bantuan untuk Mohamad Asmawi serta sokongan psikologi kepada keluarga. "Kita menasihatkan keluarga supaya Mohamad Asmawi diberi rawatan secara berkala bagi membolehkan pakar psikiatrik sahkan dia sebagai orang kelainan upaya (OKU) mental seterusnya layak didaftarkan sebagai OKU dibawah JKM," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan Mohamad Asmawi sepanjang dia menerima rawatan di sini dan berharap ada sinar buatnya selepas menerima rawatan wad psikiatrik HTAA. Katanya, menjadi tanggungjawab JKM membantu lelaki terbabit bagi mendapat rawatan yang diperlukan dan mungkin ada peluang untuk dia sembuh seterusnya meneruskan kehidupan normal. "Sokongan keluarga secara berterusan amat penting dalam usaha membantu merawat Mohamad Asmawi. Rawatan yang diterima diharap dapat membantu menyembuhkannya," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035