Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Amir Hamzah Nordin
Title :Pahang tubuh akademi tingkat latihan kemahiran bidang mineral
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :19 Mei 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
LIPIS: Kerajaan negeri menubuhkan Akademi Mineral Malaysia Pahang bagi meningkatkan latihan kemahiran dalam bidang mineral, termasuk untuk pekerja sedia ada dalam industri perlombongan dan pengkuarian.   Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata akademi itu turut berfungsi sebagai sebuah pusat pembinaan kapasiti yang holistik di Pahang dan Malaysia. Malah, beliau berkata, ia disasarkan menjadi pusat kecemerlangan bertaraf global dalam menyediakan modal insan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti tinggi, inovatif serta relevan dalam industri mineral negara. "Pusat ini menyediakan program latihan yang komprehensif dan bersepadu bagi membangunkan tenaga kerja kompeten, berkemahiran tinggi serta berpengetahuan dalam industri mineral. "Kursus disediakan lebih memberi penekanan kepada inovasi, keselamatan serta kelestarian alam sekitar, di samping kerjasama erat antara industri dengan akademi dalam memperkasakan sektor mineral negara," katanya.   Wan Rosdy berkata, akademi itu mempunyai tiga bilik kuliah, makmal komputer dan tenaga pengajar berkelayakan.   Beliau berkata, kemudahan terbabit dilengkapi 23 unit komputer berprestasi tinggi, sekali gus memastikan setiap peserta mendapat akses penuh kepada kemudahan pembelajaran digital. Katanya, orang ramai yang berminat menceburi bidang perlombongan mineral wajar menimba ilmu pengetahuan dari aspek prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi menjaga keselamatan dan tatacara perlombongan. "Oleh itu, program disediakan seperti Kursus Keselamatan, Kursus Mineral dan Geologi serta beberapa kursus lain adalah amat penting, termasuk kepada pelombong emas secara kecil-kecilan. "Ilmu pengetahuan ini penting bagi mengelak berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa sebagaimana satu insiden kematian yang dipercayai akibat lemas ketika menjalankan aktiviti melombong emas di Sungai Berhamah, Kampung Merapoh, dekat sini, baru-baru ini," katanya.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035