|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| JERANTUT: Pemandu Toyota Alphard yang terbabit nahas mengorbankan lima sekeluarga termasuk empat beradik di Kilometer 7 Jalan Jerantut-Maran, semalam, disahkan mengalami kecederaan serius di bahagian dada dan kaki.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata lelaki berusia 37 tahun itu telah menerima rawatan awal di Hospital Jerantut sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.
"Selepas disahkan mengalami kecederaan serius pada bahagian dada dan kaki, mangsa memohon untuk menerima rawatan lanjut di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Zukri berkata, hasil semakan polis mendapati pemandu lelaki berasal dari Sungai Jerik di sini itu memiliki lesen memandu, cukai jalan serta Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) yang sah.
Selain itu, beliau berkata, wanita warga Thailand berusia 28 tahun yang merupakan seorang daripada dua penumpang dalam Toyota Alphard terbabit, turut disahkan memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Hasil siasatan dan berdasarkan keterangan saksi mendapati nahas dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza yang terbabit kemalangan itu membuat pusingan U di simpang berhampiran beberapa premis perniagaan di kawasan berkenaan.
"Keterangan ini juga selari dengan keadaan kerosakan kedua-dua kenderaan, termasuk kerosakan di bahagian kanan Perodua Bezza terbabit," katanya.
Bagaimanapun setakat ini, beliau berkata, polis belum memperoleh sebarang rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkait kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan ketiga-tiga mangsa menaiki Toyota Alphard terbabit sudah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Selain pemandunya cedera pada dada serta kaki, beliau berkata, seorang penumpang lelaki berusia 28 tahun turut cedera di bahagian dada, manakala penumpang wanita warga Thailand pula mengalami kecederaan leher.
"Kesemua tiga mangsa itu tinggal di Jerantut.
"Polis akan merekod keterangan mereka sebaik saja mendapat kebenaran doktor," katanya ketika dihubungi, semalam. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |