Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Amirul Azman
Title :Ilmu jadi perisai terbaik elak terpedaya penipuan pelaburan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :03 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Meskipun pelbagai amaran telah dikeluarkan dan kempen kesedaran dilaksanakan secara meluas melalui media massa dan sosial, sindiket penipuan kewangan (scam) terus bermaharajalela di negara ini. Malangnya, masih ramai yang menjadi mangsa setiap hari akibat terpedaya dengan helah licik pihak tidak bertanggungjawab. Menurut data terkini, jumlah kerugian yang direkodkan akibat penipuan kewangan menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Penjenayah kini menggunakan pelbagai platform digital seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, malah turut menyasarkan pengguna di aplikasi hiburan popular seperti TikTok, bagi memperdaya mangsa dengan janji pelaburan menguntungkan. Penipuan ini bukan lagi dilakukan secara sembarangan. Scammer semakin bijak mengambil kesempatan ke atas kemajuan teknologi dengan menyamar sebagai ejen pelaburan sah, pegawai institusi kewangan atau wakil syarikat pelaburan terkemuka. Mereka menggunakan dokumen palsu, laman web tiruan dan bukti transaksi yang direka untuk meyakinkan mangsa. Lebih membimbangkan, sindiket ini turut menggunakan akaun bank 'keldai' iaitu akaun milik individu lain yang digunakan untuk menerima dan memindahkan wang mangsa tanpa disedari. T.I.P.U panduan mengesan ciri pelaburan palsu Bagi membantu masyarakat mengenal pasti taktik yang sering digunakan scammer, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan formula ringkas dikenali sebagai T.I.P.U sebagai panduan untuk mengesan ciri-ciri pelaburan palsu. T mewakili 'Tidak Akan Rugi' di mana scammer menjanjikan pelaburan tanpa risiko. Hakikatnya, tiada pelaburan yang bebas daripada risiko. Huruf I pula merujuk kepada 'Indah Khabar Dari Rupa'. Tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat merupakan umpan semata-mata. P bagi 'Peluang Hanya Sekali' di mana mangsa diasak untuk membuat keputusan tergesa-gesa, kononnya tawaran hanya sah untuk tempoh tertentu. Perlu ingat jangan depositkan wang ke dalam akaun bank milik individu bila melabur. Manakala U ialah 'Untung Besar'. Janji pulangan yang tidak masuk akal digunakan sebagai daya tarikan utama untuk menjerat mangsa. SC menegaskan bahawa ilmu dan kesedaran merupakan benteng paling berkesan dalam menangkis penipuan kewangan. Orang ramai disaran agar sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang skim pelaburan. Antara sumber yang boleh dirujuk termasuk Investment Checker SC yang membolehkan pengguna menyemak status pendaftaran individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan. Di samping itu, Senarai Amaran SC (Investor Alert List) boleh digunakan untuk melihat senarai entiti dan laman web mencurigakan atau yang tidak diberi kebenaran. Pelaburan yang sah tidak akan memaksa anda membuat keputusan tergesa-gesa, apatah lagi menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat. Justeru, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti laman web SC dan InvestSmart. Masuk adalah percuma Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pengguna dengan ilmu pelaburan yang betul dan selamat, SC menjemput orang ramai untuk menghadiri program Bersama InvestSmart®@Pahang, yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2025 di East Coast Mall, Kuantan. Program ini akan bermula dari jam 10 pagi setiap hari dan masuk adalah percuma. Acara ini bakal menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan, pakar pelaburan, institusi kewangan serta badan penguat kuasa. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk ceramah kewangan, sesi soal jawab bersama pakar, kuiz interaktif dan pameran maklumat pelaburan. Jangan mudah terpedaya. Semak sebelum melabur dan jadilah pelabur yang bijak.   Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi InvestSmart di https://investsmartsc.my/investsmartpahang-2025/ atau hadir sendiri ke program Bersama InvestSmart@Pahang.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035