|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Bermula dengan hobi, seorang penjawat awam tidak menyangka mampu untuk menternak lembu terutama mampu memenuhi permintaan untuk ibadah korban sempena Aidiladha pada setiap tahun.
Abdul Jalil Abdul Aziz, 56 berasal dari Taiping, Perak, berkata lebih menggembirakannya apabila minat dalam penternakan haiwan sejak kira-kira 30 tahun lalu itu turut menjana pendapatan sampingan.
Katanya, minat itu bermula ketika melihat bapanya membela lima ekor sebelum membuat dia membuat keputusan untuk berjinak dengan menambah jumlah lembu yang lebih banyak.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah SWT kerana memudahkan segala urusan sepanjang terbabit dalam penternakan lembu ini.
"Bagi permintaan ibadah korban tahun ini, kira-kira 70 lembu dijual bukan sahaja di sekitar Kuantan dan Pekan di Pahang, malah di Terengganu dan Perak.
"Biarpun terpaksa bersaing dengan penternak lain, masih ada yang berminat dengan lembu ternakan yang saya usahakan di Kampung Ubai, di sini," katanya.
Mengenai kos penjagaan, beliau mengakui berlaku peningkatan harga daripada segi jerami dan dedak yang dibeli dari beberapa negeri yang turut bergantung kepada kualiti bahan makanan itu.
Bagaimanapun, katanya, penternak perlu bijak dalam mendapatkan bekalan makanan atau yang bersesuaian dengan haiwan terbabit.
"Ini kerana lembu untuk ibadah korban memerlukan penjagaan rapi untuk memenuhi syarat khususnya dalam keadaan baik dan sihat.
"Jika diikutkan cabaran, penternak untuk perlu memastikan lembu bukan sahaja dalam keadaan sihat, malah dijauhi sebarang penyakit.
"Sebab itu saya bekerjasama dengan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) Pekan dalam penjagaan penyakit iaitu mendapatkan suntikan vaksin dan vitamin.
"Sepanjang menceburi penternakan ini, saya berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan terutama daripada Jabatan Veterinar dan rakan serta keluarga," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |