Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :T.N. Alagesh dan Amir Hamzah Nordin
Title :5 sekeluarga termasuk 4 beradik maut nahas malam raya
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :07 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JERANTUT: Lima sekeluarga termasuk empat beradik, maut dalam kemalangan membabitkan lapan mangsa yang menaiki dua kenderaan di Kilometer 7 Jalan Jerantut-Maran, tengah malam tadi. Mangsa terkorban dikenal pasti sebagai pemandu Perodua Bezza, Mohamad Ikmal Ishak, 26, yang beralamat di Ulu Kinta, Perak, dan isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23. Nahas itu turut meragut nyawa tiga adik Nur Arfiqah, iaitu Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19; dan Nurul Hazwani, 17, yang kesemuanya beralamat di Bota, Perak. Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Katanya, insiden kira-kira jam 12 tengah malam itu membabitkan Perodua Bezza berkenaan dan sebuah Toyota Alphard yang dinaiki tiga individu. Beliau berkata, pemandu Toyota Alphard itu dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan dada, manakala dua penumpang termasuk seorang wanita warga Thailand turut cedera. "Mayat semua mangsa yang terkorban kemudian dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera juga menerima rawatan lanjut di hospital sama," katanya dalam satu kenyataan. Zukri berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza yang dalam perjalanan dari Jerantut menghala ke Maran itu dikatakan membuat pusingan U secara mengejut di persimpangan lalu berlanggar dengan Toyota Alphard dari arah bertentangan. "Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Difahamkan, Toyota Alphard terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala Perodua Bezza pula remuk di bahagian hadapan dan kanan," katanya. Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden berkenaan pada jam 12.39 tengah malam. "Kemalangan itu membabitkan lapan mangsa yang menaiki dua kenderaan. Tiga mangsa yang menaiki Perodua Bezza tercampak keluar dari kereta, manakala dua lagi tersepit di dalam kenderaan berkenaan. "Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit itu sebelum menyerahkan mayat mereka kepada polis untuk tindakan lanjut. "Tiga mangsa menaiki Toyota Alphard pula mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jerantut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035