|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| JERANTUT: "Kami sudah sampai dekat dengan rumah Mak Ngah tapi termasuk simpang salah."
Itu antara kata-kata terakhir yang sempat didengar Norhayati Ismail, 60, dalam perbualan telefon dengan anak saudaranya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, sejurus sebelum berlaku kemalangan yang meragut lima nyawa sekeluarga, tengah malam tadi.
Nur Arfiqah bersama suami dan tiga adiknya terkorban dalam tragedi nahas malam raya membabitkan lapan mangsa yang menaiki sebuah Perodua Bezza dan Toyota Alphard di Kilometer (KM) 7 Jalan Jerantut-Maran.
Selain Nur Arfiqah, turut maut ialah suaminya yang memandu Perodua Bezza berkenaan, Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan tiga adik wanita itu, iaitu Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19; dan Nurul Hazwani, 17.
Panggilan singkat sekitar jam 12.45 tengah malam itu berlangsung ketika Perodua Bezza dinaiki lima sekeluarga terbabit dipercayai sudah berada hanya kira-kira 500 meter dari rumah Norhayati di Kampung Paya Gunung dan berhampiran lokasi kemalangan.
Norhayati berkata, ketika berbual dalam telefon, Nur Arfiqah memaklumkan bahawa mereka tersilap masuk simpang ke sebuah restoran berhampiran kawasan kejadian, sebelum beliau meminta mereka berpatah balik untuk ke simpang seterusnya menghala ke Jerantut Feri.
"Kami bercakap dalam sekitar lima minit sebelum talian tiba-tiba terdiam, saya terdengar bunyi lampu isyarat kereta dan kemudian senyap.... selepas itu hanya terdengar bunyi-bunyian tanpa suara yang jelas.
"Saya terdengar suara menyebut 'pengsan' dan 'kemalangan'... saya terus berasa tidak sedap hati lalu menelefon anak saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut, hari ini.
Sementara itu anak Norhayati, Muhammad Azuwan Arif Shah, 34, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada ibunya.
"Setiba di lokasi, saya nampak seorang terbaring di atas jalan dan sah adalah sepupu saya. Dua lagi dilihat tidak sedarkan diri di dalam kereta. Kami bersama orang ramai mencari dua lagi mangsa dan mendapati mereka tercampak kira-kira 10 meter dari kereta.
"Keadaan ketika itu sangat kelam-kabut. Mohamad Ikmal dilihat tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Bezza yang dinaiki mereka," katanya.
Muhammad Azuwan berkata, jenazah mangsa akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Padang Kunchor, Bota, Perak.
"Mereka datang ke Jerantut bersama tiga kereta secara berasingan untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga di kampung, yang sudah sampai pada Khamis lalu. Kereta terbabit nahas itu adalah yang terakhir tiba di sini," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |