Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Pahang haramkan penjualan vape
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :11 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Kerajaan Pahang mengharamkan sebarang bentuk penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini selepas penggunaannya telah difatwakan haram sejak 2016. Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, larangan itu dimuktamadkan selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) pada 14 Mei lalu. Menurutnya, keputusan itu juga telah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, malah perkara itu dititahkan baginda dalam beberapa siri titah baginda sebelum ini. Beliau berkata, langkah penguatkuasaan larangan itu akan dilaksanakan segera melalui pihak berkuasa tempatan (PBT). “Kita minta ia disegerakan tahun ini juga, selewat-lewatnya sebelum 2026. Bagaimanapun, kita minta PBT menguatkuasakan perintah larangan penjualan vape di Pahang ini secara lebih berhikmah dan berhemah,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Islam Negeri Pahang Bilangan 1/2025 di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini pada Rabu. Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri menyedari kesulitan yang bakal dihadapi, terutama oleh peniaga vape di negeri ini. “Keputusan ini dibuat kerana kita sayangkan rakyat, mengambil kira keburukan dan ancaman bahaya vape kepada kesihatan terutama golongan remaja. Kita sarankan kepada peniaga vape supaya bersiap sedia untuk menghentikan perniagaan mereka termasuk menghentikan pembelian stok baharu dan mencari perniagaan lain yang lebih sesuai,” katanya. Pada masa yang sama, Syed Ibrahim menasihatkan pengguna vape supaya menghentikan tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan mereka. Terdahulu, beberapa negeri telah memutuskan larangan tersebut, termasuk Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak. Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total, susulan kebimbangan baginda terhadap peningkatan penyalahgunaan dadah di Pahang. Titah baginda menyebut bahawa antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah, baik secara langsung mahupun tidak langsung, bermula dengan penggunaan vape. Baginda menyifatkan vape sebagai alat yang merosakkan kesihatan dan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape diharamkan secara total.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035