Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Kemalangan bas UPSI: RM1.7 juta terkumpul menerusi Tabung KPT Prihatin
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :17/06/2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
  TANJONG MALIM: Sejumlah RM1.7 juta terkumpul menerusi Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin setakat ini, untuk waris dan mangsa nahas bas membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Gerik, baru-baru ini.   Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, dana terkumpul itu ialah usaha kira-kira 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti, selain sumbangan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan negeri, institusi bank dan pihak korporat.   Beliau berkata, tabung khas yang dikendalikan oleh UPSI itu akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat dan setakat ini sebanyak RM371,000 daripada RM1.7 juta itu telah diserahkan kepada pelajar dan waris yang terkesan.   "Wang itu (RM1.7 juta) akan diberikan kepada keluarga-keluarga mangsa, saya serahkan kepada pihak urus setia yang diketuai oleh Naib Canselor UPSI (Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff).   "Mereka (pihak IPT) buat gerakan untuk sumbangan daripada pelajar-pelajar, kakitangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar UPSI di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini, malam tadi.   Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.   Sementara itu, Zambry yang turut menyumbangkan sebulan gajinya sebagai menteri kepada tabung itu berkata, ia sebagai satu solidariti bersama dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.   Dalam pada itu, Md Amin ketika ditemui berkata, Tabung KPT Prihatin khusus untuk insiden terbabit dijangka ditutup pada Jumaat ini. "Apabila kita tutup sumbangan, selepas itu boleh diserahkan terus kepada keluarga (mangsa). Terima kasih, kita cuba lihat mungkin hari Jumaat ... untuk tempoh seminggu ini kita tutup," katanya.   Menurut Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI, majlis tahlil perdana itu disertai kira-kira 5,000 mahasiswa, petugas serta penduduk setempat.   Pada majlis itu, Zambry turut menerima cek cura daripada pihak terlibat dalam memberikan sumbangan antaranya beberapa universiti dan syarikat korporat seperti Syarikat Takaful Malaysia, Malaysian Takaful Association, Lumut Port, Etiqa Takaful, Hong Leong Takaful serta institusi bank.   Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.   Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV). -- BERNAMA    
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035