Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :MPI, IPT jalin kerjasama perluas latihan bidang kewartawanan
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :11/06/2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
GEORGE TOWN: Institut Akhbar Malaysia (MPI) bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperluas program latihan dan pendedahan kepada pelajar komunikasi dalam meneruskan usaha memperkukuh bidang kewartawanan. Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha MPI untuk menjalin kerjasama strategik antara industri dan akademia demi memastikan kelestarian bidang berkenaan. "Kami dari MPI bekerjasama dan menganjurkan program untuk beri pendedahan kepada pelajar di IPT termasuk swasta mengenai bidang kewartawanan, malah sekarang ini kita pergi ke universiti-universiti sebagai antara usaha untuk mendedahkan dan melatih mereka berbanding dulu hanya tumpu di pejabat kita. "Kita juga memberi latihan dan penekanan kepada kewartawanan baharu dengan fokus terhadap teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kewartawanan berasaskan data supaya mereka dapat maklumat yang jelas mengenai bidang itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum Wartawan Masa Depan: Membina Kerjaya dalam Dunia Media Baharu di Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail. Turut hadir sebagai panelis ialah Koresponden TV3 Wilayah Utara Selwam Arjunan dan Penganalisis Media yang juga bekas Pengarang Multimedia The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Munir Anaam Zuljadan. Mengulas lanjut, Yong berkata program latihan dan pendedahan yang dijalankan sejak tahun lepas itu dilihat memberi kesan positif, apabila pelajar menjadi lebih peka, aktif dan yakin untuk menonjol dalam bidang komunikasi dan kewartawanan. Beliau berkata MPI menyasarkan untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan lebih banyak IPT di seluruh negara demi memastikan wartawan generasi baharu bersedia menghadapi dunia media yang serba pantas dan digital. "Kita tidak mahu teknologi menguasai wartawan, sebaliknya wartawan mesti menguasai teknologi dan sebab itu MPI membawa mesej ini ke kampus-kampus bagi memberi pendedahan, kerana latihan yang dijalankan dilihat memberi kesan positif kepada pelajar," katanya. Beliau berkata wartawan juga perlu terus memperkukuh nilai teras profesion mereka dengan mengutamakan pemikiran analitik berpaksikan kepada etika dan kredibiliti pelaporan serta penyampaian maklumat dalam persekitaran media yang kini dipengaruhi media sosial dan AI. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035