Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pahang sedia laksana pelan pembangunan di tujuh stesen ECRL - Wan Rosdy
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :07/05/2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Kerajaan Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu, bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merangsang ekonomi setempat. Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, perancangan itu, akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam radius 15 kilometer daripada setiap stesen ECRL. "Dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) serta Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) secara strategik dan mampan, kerajaan negeri meletakkan sasaran menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing," katanya. Wan Rosdy berkata, perkara itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam. Beliau berkata, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing, yang melibatkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM). "Komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku, pelabuhan darat, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi dan kemudahan masyarakat, utiliti dan infrastruktur perumahan dan sebagainya," katanya. Wan Rosdy berkata, antara projek yang akan dilaksanakan oleh PBT ialah pembinaan terminal bersepadu dan gerai berangkai di Bentong, pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar, pembangunan bandar pintar di Daerah Temerloh serta pembangunan hab maritim di Tanjung Gelang. Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa pelaksanaan projek tersebut akan memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar. "Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua," katanya. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035