Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Izwan Rozlin
Title :UPNM kukuh jalinan industri melalui pameran kejuruteraan
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :26 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR – Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh peranannya sebagai hab pendidikan teknikal apabila berjaya menganjurkan Pameran dan Hari Terbuka 2025. Dekan Fakulti Kejuruteraan UPNM, Profesor Madya Dr Mohd Taufik Jusoh @ Tajudin berkata, sambutan luar biasa kali ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan universiti dalam melahirkan jurutera berdaya saing. “Program ini bukan sekadar mempamerkan projek pelajar, malah membuka ruang kerjasama strategik antara fakulti dan industri, sambil memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM),” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di UPNM, Sungai Besi, di sini, pada Isnin. Sebanyak 157 Projek Tahun Akhir (FYP) dan enam Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP) dipamerkan, melibatkan pelbagai bidang termasuk Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik & Elektronik serta Teknologi Pintar. Acara tahunan itu menjadi platform penting bagi memperkenalkan program akademik, penyelidikan serta inovasi pelajar kepada umum, khususnya melalui pameran FYP dan IDP. Turut mencuri tumpuan ialah demonstrasi teknologi oleh pelajar dan pensyarah, serta pameran industri yang melibatkan Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace (PUSPEKA) dan pelbagai projek STEM. Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti simulasi penerbangan, pameran robotik dan bengkel teknologi, di samping berinteraksi secara langsung dengan pelajar serta penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan. Majlis penutup menyaksikan penyampaian tiga anugerah utama sebagai pengiktirafan terhadap hasil kerja pelajar, iaitu FYP Best Project Award, IDP Best Project Award dan Visitor’s Choice Award. Setiap pemenang menerima trofi dan sijil penghargaan atas pencapaian masing-masing, manakala semua peserta diraikan atas komitmen serta usaha yang ditunjukkan dalam projek mereka. Sementara itu, pengunjung, Nur Alia Zafirah, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi berkata, pengalaman menghadiri pameran itu meningkatkan minatnya terhadap bidang kejuruteraan aeroangkasa. “Saya kagum dengan ciptaan pelajar UPNM. Mereka bukan sahaja bijak, tetapi sangat kreatif. Saya kini lebih berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang ini,” katanya. Difahamkan, penganjuran pameran itu turut membuka ruang kepada pihak industri meninjau potensi pelajar UPNM untuk diserap ke dalam sektor kejuruteraan dan teknologi pertahanan negara. Dalam pada itu, Fakulti Kejuruteraan UPNM merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat termasuk warga universiti, wakil industri, pelajar sekolah, sukarelawan dan pihak penaja. UPNM komited untuk terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha memacu kecemerlangan pendidikan tinggi dalam bidang kejuruteraan dan memperkukuh hubungan dengan komuniti serta industri luar.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035