Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Norawazni Yusof
Title :Kemajuan ECRL di Pahang capai 86.03 peratus – Wan Rosdy
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :25 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang kini menunjukkan kemajuan positif apabila pembinaannya mencatat 83.38 peratus setakat Mei 2025. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi jajaran di negeri ini sahaja, kemajuan sudah melepasi 86.03 peratus, melibatkan tujuh stesen sepanjang 258 kilometer dari Cherating hingga ke Bentong. Menurutnya, projek mega ini yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak merupakan pemangkin kepada transformasi sistem pengangkutan awam negara menerusi jaringan rel moden dan efisien. “Saya bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah berkesempatan meninjau kemajuan projek pembinaan ECRL di Stesen KotaSAS. “Saya amat berharap agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan, iaitu menjelang penghujung tahun 2026 demi manfaat bersama seluruh rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Rabu. Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut meninjau kemajuan projek pembinaan ECRL di Stesen KotaSAS di sini. Wan Rosdy menambah, selaras dengan pembangunan prasarana ini, kerajaan negeri turut merangka pelan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bagi kawasan sekitar setiap stesen ECRL dalam radius 15 kilometer. Katanya, usaha itu bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi setempat secara mapan, selain mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat. “Laluan ECRL yang menghubungkan dua pelabuhan strategik negara iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan diyakini akan melonjakkan kedudukan Pahang, khususnya Kuantan sebagai destinasi pelaburan utama negara. “Kesan limpahan ekonomi yang dijana daripada pembangunan ini akan terus dinikmati oleh rakyat di seluruh negeri,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Rail Link (MRL) atas kerjasama dan komitmen dalam merealisasikan projek berkenaan.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035