Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Mohd Azlim Zainury
Title :Tindakan terhadap pelajar UMS perlu dikaji semula – Lawyers for Liberty
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :24 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PETALING JAYA – Lawyers for Liberty (LFL) menggesa pihak berkuasa dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar menghentikan siasatan serta tindakan tatatertib terhadap pelajar yang menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini. Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, walaupun terdapat pelbagai pandangan terhadap tindakan simbolik semasa perhimpunan itu, pelajar terbabit masih mempunyai hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. “Kami berpendapat tindakan mengambil pendekatan penyiasatan jenayah dan tatatertib terhadap para pelajar yang menyuarakan pandangan dalam ruang demokrasi adalah tidak wajar dan memberi gambaran seolah-olah kebebasan bersuara semakin terhakis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Menurut beliau, perhatian seharusnya diberikan kepada isu utama yang dibangkitkan dalam perhimpunan itu, iaitu berkaitan dakwaan ketirisan dan gejala rasuah yang berlaku di Sabah, bukannya hanya tertumpu kepada tindakan simbolik yang dilakukan oleh peserta. Zaid juga menekankan bahawa sejarah negara telah menyaksikan pelbagai bentuk protes yang dijalankan secara simbolik, dan tindakan pelajar tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk jenayah sekiranya ia dijalankan secara aman. “Institusi pengajian tinggi sepatutnya menjadi ruang yang subur bagi kebebasan akademik dan perbezaan pandangan. Tindakan disiplin terhadap pelajar yang bersuara hanya akan menjejaskan kepercayaan terhadap prinsip kebebasan akademik,” jelasnya lagi. Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya menunaikan komitmen yang pernah dinyatakan sebelum ini untuk memansuhkan undang-undang yang bersifat mengekang kebebasan bersuara, termasuk Akta Hasutan. “Kerajaan harus memastikan hak semua rakyat untuk bersuara dan berhimpun dipelihara tanpa diskriminasi, selaras dengan semangat reformasi dan demokrasi yang dilaungkan,” ujarnya. Zaid menggesa agar semua siasatan terhadap peserta perhimpunan tersebut dihentikan segera, dan semua pihak kembali memberi fokus kepada usaha membanteras rasuah secara menyeluruh dan telus.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035