|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum menjalankan inisiatif Jalinan Universiti-Industri sempena lawatan kolaborasi ke Karangkraf Sdn Bhd di sini pada 2 Julai lalu.
Lawatan yang disertai lapan pensyarah dari UTHM itu diketuai oleh Ketua Jabatan Pengajian Islam, Sharifah Khadijah Syed Abu Bakar.
Beliau yang mewakili Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Dr Lutfan Jaes berkata, kunjungan tersebut penting dalam meneroka potensi kerjasama strategik bersama Karangkraf termasuk Sinar Harian, Buku Karangkraf dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
“Perbincangan tersebut melibatkan bidang penerbitan, penyelidikan serta pengembangan program keagamaan dan kemasyarakatan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi berkata, kerjasama ini bertepatan dengan hala tuju Karangkraf dalam memperkukuh kandungan yang mendidik dan memberi nilai tambah kepada masyarakat.
“Kami di Karangkraf sentiasa terbuka kepada kerjasama yang membina. Kolaborasi ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada penghasilan bahan ilmiah berkualiti, malah memberi manfaat dalam bentuk kandungan yang membentuk pemikiran masyarakat.
“Karangkraf kini bergerak selari dengan transformasi digital dan giat menganjurkan pelbagai program mendekati rakyat,” katanya.
Lawatan ini turut diisi dengan sesi perkongsian ilmu bersama Pengurus Penerbitan Buku Karangkraf, Azzah Abdul Rahman yang berkongsi tentang proses pembangunan buku bermula daripada idea hingga ke peringkat cetakan.
Sesi diteruskan dengan perkongsian daripada Pengarang Sinar Islam, Ustaz Muhamad Tarmize Mohd Nor yang menyentuh peranan media dalam menyampaikan mesej dakwah dan pengisian rohani kepada masyarakat melalui pendekatan kontemporari.
Melalui kedua-dua platform ini, pihak UTHM berpeluang untuk menjalin kerjasama dalam penerbitan karya ilmiah dan dakwah, sekali gus memperluas jangkauan penyebarannya kepada khalayak umum secara lebih menyeluruh dan berimpak.
Sebagai simbolik komitmen kedua-dua pihak, sesi lawatan ini diakhiri dengan acara menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) antara UTHM dan Karangkraf sebagai langkah awal ke arah hubungan strategik yang lebih mantap dalam bidang keilmuan, latihan, perundingan, penyelidikan dan penerbitan.
Lawatan ini menjadi titik mula penting dalam menghubungkan dunia akademik dan industri penerbitan demi memperkasa wacana keilmuan Islam yang segar, relevan dan menyeluruh. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |