Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Naib canselor universiti diarah kaji kesan peluasan skop SST terhadap mahasiswa
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :05 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SUNGAI PETANI - Semua naib canselor telah diminta membuat kajian terperinci bagi mengenal pasti kesan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lepas terhadap mahasiswa di universiti masing-masing. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian itu bagi melihat sama ada peluasan skop SST menyumbang secara langsung atau tidak langsung terhadap peningkatan kos pembelajaran mahasiswa. "Kita akan memperincikan apa yang dimaksudkan tetapi yang diumumkan oleh kerajaan iaitu kenaikan kepada pelajar antarabangsa yang datang belajar ke negara kita, dengan kenaikan tarif atau kenaikan cukai pengajian mereka ke Malaysia. "Di pihak, kita telahpun disampaikan perkara tersebut, saya telah kumpulkan maklum balas itu manakala bagi peringkat yang lain, mungkin ada hal-hal yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pelajar kita,” katanya. Zambry, yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Merbok di sini hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian itu melibatkan semua perkara dalam lingkungan pembelajaran mahasiswa termasuk bil elektrik bagi mereka yang menginap di rumah sewa. Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, peluasan skop SST sejak Selasa lepas didakwa turut membawa implikasi kewangan kepada mahasiswa. Mohamad Amar Aidid berkata, peluasan skop SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi dan pembelian dalam talian memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup pelajar. Dalam pada itu, Zambry berkata, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang diusahakan kementeriannya telahpun disiapkan dan dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November ini. Mengulas isu pelajar institusi pengajian tinggi yang dikesan menghidap jangkitan virus kurang daya tahan manusia (HIV), beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi menyerahkan kepada pihak universiti untuk melakukan pemantauan dan mengambil langkah terbaik bagi menanganinya. - Bernama
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035