Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Aisyah Basaruddin
Title :Pelajar IPT hidap HIV: Menteri agama seru henti normalisasi maksiat
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :03 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi, sebaliknya bangkit membina benteng akhlak dan rohani dalam diri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, data mengenai 1,091 jangkitan HIV yang direkodkan dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 adalah amat membimbangkan. Menurutnya, tidak dinafikan bahawa gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda di negara ini. “Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, saya amat bimbang dengan perkembangan ini. “Sudah tiba masanya kita hentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi. Kepada pelajar dan anak muda, jaga maruah serta nilai diri. “Agama bukan sekadar pelajaran, ia juga panduan kehidupan. Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis. Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa seramai 222 pelajar IPT dikesan menghidap jangkitan HIV seawal usia 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas. Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2025 pada Selasa lalu. Beliau memberitahu, data menunjukkan bahawa aktiviti berisiko sudah bermula lebih awal, dan usaha pengurangan kemudaratan (harm reduction) yang dilaksanakan ketika ini adalah menerusi penggunaan kaedah Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) sebagai langkah pencegahan HIV. Jelasnya, pelaksanaan PrEP di beberapa fasiliti kesihatan juga menunjukkan kejayaan dalam membendung penularan jangkitan. Bagaimanapun, Lukanisman mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa. Mengulas lanjut, Mohd Na’im berpandangan bahawa pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu berjalan seiring dalam usaha menyelamatkan generasi masa hadapan. “Agensi agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan mesti berganding bahu untuk menyelamatkan generasi pewaris negara. “Kerajaan Madani komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, tetapi juga sihat akhlak dan spiritual,“ ujarnya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035