Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
UMPSA
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Farhana Abd Kadir
Title :RISDA, UMPSA teroka potensi biofuel berasaskan getah sekerap
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :16 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memperkasa komuniti desa menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam usaha pembangunan dan penyelidikan teknologi penghasilan bahan bakar bio (biofuel) berasaskan getah sekerap. Inisiatif awal kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha menyokong Aspirasi Desa Madani cetusan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap pembangunan teknologi hijau untuk manfaat lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara. Menerusi lawatan rasmi ke Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses serta Pusat Kajian Biomatik UMPSA, delegasi RISDA yang diketuai Pengerusinya, Manndzri Nasib telah memulakan perbincangan awal mengenai inisiatif perkongsian fasiliti, pembangunan prototaip dan penyediaan latihan terhadap usaha kepada penghasilan bahan biofuel mesra alam melalui getah sekerap. Menurut Manndzri, inisiatif biofuel itu bukan sahaja menyumbang kepada agenda peralihan tenaga negara, malah membuka ruang baharu kepada pekebun kecil untuk menjana pendapatan tambahan. Selain itu, kejayaan usaha tersebut mampu meningkatkan dan menstabilkan harga getah asli tempatan. “Sekiranya inisiatif ini dapat direalisasikan, ia dilihat mampu menjadi langkah strategik dalam menstabilkan nilai komoditi tempatan serta memperkukuh peranan pekebun kecil dalam industri getah negara. “Melalui perbincangan ini, pihak UMPSA menyambut baik kerjasama tersebut dan bersedia menyumbang kepakaran penyelidikan serta fasiliti sedia ada seperti makmal pemprosesan bahan, sistem analisis bahan api alternatif dan teknologi prototaip,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Md Najip Ishak dan Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan UMPSA, Dr Abdul Adam Abdullah bersama-sama wakil kedua-dua pihak. Dalam pada itu, Manndzri berkata, RISDA sebelum ini telah memulakan penyelidikan awal dan mendapati terdapat kandungan karbon yang sangat tinggi dalam getah sekerap. Menurutnya, ia berpotensi dijadikan sumber tenaga alternatif setanding dengan bahan api fosil dan kajian itu memberikan asas kukuh untuk membangunkan teknologi pemprosesan berskala industri dengan sokongan rakan akademik seperti UMPSA. Tambah beliau, inisiatif itu juga mendapat sokongan penuh daripada KKDW di bawah pimpinan Ahmad Zahid yang menyasarkan peningkatan daya saing dan kesejahteraan pekebun kecil melalui penggunaan teknologi inovatif. “Ia juga mencerminkan keupayaan sektor pertanian negara untuk meneroka teknologi hijau, sekali gus menyumbang ke arah masa depan sektor komoditi getah negara yang lebih lestari. “Kolaborasi RISDA dengan UMPSA ini juga dijangka menjadi model baharu dalam menjayakan kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang penyelidikan serta pembangunan mampan untuk komuniti luar bandar,” katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035