|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
|
BUTTERWORTH – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi dan industri menerusi penganjuran Perhimpunan Alumni Industri Chapter Utara.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, perhimpunan yang diadakan berjaya menarik penyertaan hampir 400 alumni dari wilayah utara selain membabitkan lebih 137 industri dan 11 agensi kerajaan.
Menurutnya, antara alumni yang hadir terdiri daripada wakil syarikat ternama seperti Intel, Micron, B. Braun, Oppstar serta penyumbang korporat seperti Inari Amatron, ATS Global, dan Lembaga Pelabuhan Johor.
“Alumni adalah duta UniMAP bukan sahaja di mata industri malah berperanan sebagai penyambung strategi, mentor, penyokong universiti dan penyampai nilai serta reputasi institusi itu.
“Di mana jua anda berada, sama ada dalam bidang kejuruteraan, teknologi, keusahawanan mahupun pendidikan, andalah wajah kejayaan UniMAP untuk terus menjadi pemangkin perubahan dan kekuatan kepada alma mater kita,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zaliman berkata, program berkenaan menjadi permulaan kepada inisiatif Jelajah Alumni Industri UniMAP yang bakal diperluaskan ke Zon Tengah, Selatan, Pantai Timur dan Borneo.
“Usaha ini adalah platform merapatkan jurang antara akademia dan industri, selain memupuk kolaborasi dinamik merentasi wilayah dan sektor, seiring dengan kerangka Malaysia Madani yang berfokus kepada kesejahteraan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada alumni dan pihak industri atas komitmen terhadap pembangunan universiti menerusi Tabung Wakaf Alumni UniMAP, yang setakat ini telah menjana hampir RM60,000, termasuk sumbangan korporat sehingga RM5,000 setiap syarikat.
Katanya, pihak UniMAP menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM200,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan pelajar dan alumni.
Sementara itu, perhimpunan berkenaan turut menyaksikan pelancaran 10 inisiatif utama alumni atau flagship initiatives sebagai kerangka penglibatan alumni secara berstruktur dan berterusan.
Antaranya ialah pelantikan Alumni Ambassador di peringkat antarabangsa dan industri, Anugerah Alumni Cemerlang, Konvensyen Usahawan Alumni serta penglibatan aktif dalam konvokesyen dan program mentorship pelajar.
Tambah beliau, pelantikan 141 Alumni Ambassador dari luar negara juga mewakili prinsip 1 negara, 1 alumni dalam memperkukuh keterlihatan global serta membina rangkaian alumni antarabangsa.
“Kita mahu menyeru alumni untuk terus menyumbang kepada reputasi serta pencapaian UniMAP di peringkat global termasuk dalam penarafan antarabangsa seperti QS Rankings.
“Perhimpunan ini membuktikan eratnya hubungan antara alumni, universiti dan industri yang membentuk satu ekosistem strategik yang akan terus berkembang demi memastikan UniMAP kekal relevan dan berdaya saing di persada nasional dan antarabangsa,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |