|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
|
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Khamis.
Nama baharu Masjid UniPSAS itu dimasyhurkan sempena Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-66.
Keberangkatan Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Sementara itu, menerusi Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah telah mengenang kembali usaha paduka ayahanda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dalam pembinaan masjid itu.
Titah baginda, selain mengusahakan dana, Almarhum turut bercemar duli turun sendiri melihat kerja-kerja pembinaannya.
"Tindakan tersebut menjadi bukti nyata akan cinta dan harapan tinggi Almarhum terhadap pendidikan Islam serta kesejahteraan rohani generasi mendatang di negeri tercinta ini.
"Kini, masjid ini bukan sahaja tersergam indah di lokasi yang strategik, bahkan saya berharap ia menjadi mercu tanda keunggulan nilai-nilai Islam yang berpaksi kepada ilmu, amal dan akhlak," titah baginda seperti dilaporkan Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya masjid itu dijadikan pusat kecemerlangan dakwah bukan hanya di kampus.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan agar setiap program ceramah atau kuliah yang melibatkan penceramah luar perlu membuat permohonan rasmi kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
"Dalam masa yang sama, setiap permohonan tersebut akan dinilai dengan mengambil kira pandangan serta nasihat daripada Mufti Negeri Pahang.
"Langkah itu diambil agar isi kandungan ceramah tidak terpesong daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini," titah baginda.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |