|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Enam kru termasuk seorang tekong warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang selepas sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan negeri ini, kelmarin.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, berkata mereka bersama vesel itu ditahan di kedudukan kira-kira 0.23 batu nautika dari timur Pantai Pontian, Rompin kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Katanya, berdasarkan laporan, penahanan dilakukan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris selepas mengesan sebuah vesel jenis fiber pukat hanyut yang mencurigakan beroperasi di kawasan itu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati vesel dikendalikan enam kru termasuk tekong warga tempatan berumur lingkungan 21 dan 37 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu disyaki melakukan tiga kesalahan iaitu pemilik tidak mengusahakan sendiri gagal memaklumkan pertukaran enjin vesel serta membawa awak-awak melebihi jumlah yang dibenarkan dalam syarat sah lesen.
"Vesel dan semua kru bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut dalam anggaran 150 kilogram ditahan seterusnya diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes itu, beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik vesel yang mengambil jalan mudah melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan peribadi tanpa memikirkan kesannya terhadap sumber perikanan negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |