|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terharu atas sambutan menggalakkan 103 peserta yang menyertai Piala Tunku Azizah - Pertandingan Tenun Pahang Diraja anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja (YTPD).
Penganjuran julung kali diadakan bermula 27 Mac hingga 30 April lalu yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama pencinta tekstil itu diadakan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia membabitkan 206 produk dihasilkan.
Tunku Azizah yang juga pengasas dan Pengerusi YTPD, bertitah semua produk dipertandingkan iaitu kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi itu akan dinilai lima juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.
"Juri profesional diketuai Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan dibantu empat pakar tekstil negara iaitu Dr Habibah Abdul Jabar; Prof Dr Norwani Md Nawawi; Noorizal Ramly dan Noridah Johan.
"Panel juri akan membuat penilaian berdasarkan empat kriteria iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi serta komersial.
"Paling utama adalah penghasilan produk mesti menggunakan kaedah pembentukan tangan yang termaktub dalam definisi kraf tangan digariskan UNESCO.
"Penggunaan mesin tidak dibenarkan, setiap produk dihasilkan wajib menerapkan nilai warisan Malaysia sama ada dalam aspek motif, warna, teknik pembuatan dan amalan budaya," titah baginda dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Baginda bertitah, sejumlah RM104,000 ditawarkan pada pertandingan itu iaitu tempat pertama bakal menerima wang tunai RM30,000 berserta piala dan sijil; kedua (RM20,000 berserta piala dan sijil); ketiga (RM10,000.00 berserta piala dan sijil) manakala sagu hati tempat keempat hingga kelapan akan menerima wang tunai RM4,000 berserta piala serta sijil.
Tunku Azizah bertitah, sagu hati dari tempat ke sembilan hingga ke-20 akan menerima wang tunai RM2,000 dan sijil.
Keputusan pemenang Piala Tunku Azizah - Pertandingan Tenun Pahang Diraja ini akan diketahui Ahad ini daripada 20 rekaan terbaik yang disenarai pendek menerusi sesi penjurian pada Khamis hingga Sabtu ini.
Majlis penyampaian hadiah akan diadakan bersama Majlis Perasmian Temasya Warisan Pahang di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan, Pahang yang akan disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos ini.
Pada malam itu, baginda juga akan melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah yang sebelum ini dimeterai pertubuhannya pada 21 Disember 2023.
Peserta Piala Tunku Azizah - Pertandingan Tenun Pahang Diraja itu membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara termasuk Sarawak seperti individu, pelajar, usahawan dan banduan dari Penjara Penor serta Penjara Bentong.
Semua produk dipertandingkan akan dipamerkan sempena Temasya Warisan Pahang di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan, yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 7 September ini.
Pada masa sama, baginda bertitah, pertandingan itu platform penting bagi memperkasa dan memperluas pengaruh Tenun Pahang Diraja pada peringkat nasional dan antarabangsa.
"Pertandingan ini bagi mencungkil bakat kreatif dan inovatif penenun untuk menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik serta kemahiran dengan potensi nilai komersial," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |