|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mahu tulisan jawi sekadar menjadi khazanah usang yang terperap di muzium.
Justeru, baginda meminta rakyat Pahang tampil sebagai pelopor dalam menghidupkan semula roh dan penggunaan tulisan jawi.
"Biarlah ia (tulisan jawi) tidak sekadar menjadi khazanah usang yang terperap di muzium tetapi terus berdenyut sebagai nadi kehidupan dari desa terpencil hingga ke kota raya dari urusan pentadbiran hingga ke hamparan maya tanpa batas," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025 di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda turut percaya bahawa memelihara tulisan jawi bukan sekadar amanah sekolah atau institusi agama semata-mata tetapi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.
"Tulisan jawi adalah nadi dan wajah sebenar identiti bangsa Melayu, andai ia pupus daripada kehidupan kita, maka seakan-akan hilanglah sebahagian daripada roh dan jiwa bangsa ini," titah baginda.
Bagi memperkasakan lagi persekitaran jawi di Pahang, baginda berpandangan langkah yang menyeluruh dan berkesan perlu diambil oleh semua pihak.
Titah baginda, antara langkah itu ialah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyeragamkan penulisan tulisan jawi di premis perniagaan dan tempat pelancongan di negeri itu.
"Selain itu, melahirkan lebih ramai pakar jawi melalui kursus intensif secara konsisten yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
"Tanggungjawab ini juga boleh dilaksanakan oleh Institut Jawi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang membantu ramai pihak dalam menyemarakkan penggunaan tulisan jawi.
"Memanfaatkan teknologi digital dengan mewujudkan aplikasi dan platform media sosial berasaskan jawi supaya ia segar dalam jiwa anak muda. Penyelidikan berkaitan manuskrip Melayu yang ditulis dalam tulisan jawi perlu dipertingkatkan.
"Peranan ini boleh dimainkan oleh institusi pengajian tinggi bagi memastikan khazanah ilmu yang terdapat dalam manuskrip dapat disebarluaskan kepada masyarakat," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda memandang tinggi usaha murni penganjuran konvensyen itu kerana ia bukan sahaja menjadi medan perbincangan ilmiah,malah suatu ikhtiar menyatukan hati dan fikiran dalam memelihara khazanah agung bangsa, khususnya tulisan jawi yang menjadi lambang peradaban Melayu-Islam, sejak berkurun lamanya.
Titah baginda, tulisan jawi juga adalah warisan rohani dan intelektual umat Melayu.
"Melalui tulisan jawi, tamadun kita merakam sejarah, mengungkap ilmu agama, mengatur undang-undang dan menyampaikan karya sastera yang mempesona.
"Namun, saya turut menyedari bahawa dalam arus kemodenan, tulisan jawi berdepan cabaran besar apabila kurangnya penggunaan tulisan ini dalam kehidupan seharian, terpinggir dalam komunikasi rasmi dan semakin jauh daripada generasi muda.
"Saya menzahirkan rasa bangga apabila melihat papan-papan tanda di premis perniagaan dan iklan di seluruh daerah di Pahang telah mempunyai tulisan jawi," titah baginda. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |