|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan reputasi sebagai peneraju pendidikan teknikal dan inovasi digital apabila melancarkan tiga pusat penting yang menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi negara.
Pelancaran Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credential (FLEXMC) dan Pusat Penilaian APEL itu akan memberi manfaat buat masyarakat di negara ini khususnya di Pantai Timur.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim, berkata pelancaran pusat itu mengukuhkan lagi persediaan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju di rantau ASEAN.
Beliau berkata, ia turut menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi negara menerusi usaha mendigitalisasikan pendidikan tinggi terhadap pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (P&P) di IPT menerusi pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel.
"Selain itu, ia memberi peluang UMPSA untuk bekerjasama mengembangkan jaringan luar dengan pihak industri dalam pelbagai bidang kepakaran yang menyokong kepada micro-credential, pembelajaran e-learning dan pembelajaran sepanjang hayat.
"Malah, ia satu petanda positif yang membuktikan kesediaan UMPSA untuk meningkatkan kesedaran warganya terutama tenaga pengajar UMPSA yang mempunyai kepakaran mengenai kepentingan untuk menyumbangkan tenaga, idea bagi pembangunan modul latihan kepada pihak industri," katanya.
Dr Anesee berkata demikian pada majlis perasmian QVC, FLEXMC dan Pusat Penilaian APEL di Dewan Serbaguna UMPSA, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui peluang pembelajaran rujukan industri, malah turut menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
"UMPSA bukan sahaja membangunkan modul bersama industri seperti AirAsia Drone, MTDC, Aerodyne Flight Institute dan 3D Gens.
"Malah turut membuktikan kemampuan dalam menarik penyertaan antarabangsa melalui kerjasama dengan BINUS University serta pembangunan modul untuk komuniti setempat bersama INFRA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |