Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Sinar Harian
Title :UniMAP semarak sambutan bulan kemerdekaan
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :30 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
ARAU - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 dengan penganjuran program Senamrobik & Brisk Walk yang berlangsung di Dataran Boulevard, Kampus Alam Pauh Putra, pada Rabu. Program anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UniMAP itu mendapat sambutan meriah daripada warga universiti yang bersama-sama mengibarkan semangat patriotisme, di samping mengenang jasa dan pengorbanan pejuang tanah air. Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Ts Dr Zaliman Sauli, berkata program itu bukan sahaja mencerminkan sokongan terhadap sambutan Hari Kebangsaan, malah mengajak warga kampus menghayati makna kemerdekaan dengan lebih mendalam. “Walaupun kita tidak merasai perit getir perjuangan pejuang terdahulu, marilah kita mengenang pengorbanan mereka dan bertanya pada diri, adakah kita cukup kental dalam mengisi makna kemerdekaan?,” katanya ketika berucap pada program itu. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Profesor Ir Dr Rizalafande Che Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan pegawai-pegawai utama UniMAP. Zaliman turut menyertai Brisk Walk sejauh tiga kilometer sekitar kampus. Program Senamrobik & Brisk Walk itu turut diserikan dengan  aktiviti menarik di tiga pit stop iaitu Tinta Pertiwi (sokongan tanda tangan), Akar Merdeka, Daun Warisan (penanaman bunga raya sebagai simbol Rukun Negara) serta Warong Patriot yang menyediakan minuman buat peserta. Zaliman turut menggalakkan semua jabatan dan pusat tanggungjawab (PTj) UniMAP menghias ruang kerja berinspirasikan tema kemerdekaan, selain memastikan pemasangan Jalur Gemilang dilakukan dengan betul mengikut 14 jalur yang melambangkan semangat Persekutuan Malaysia.   “Semoga bulan kemerdekaan ini menyuburkan rasa cinta tanah air serta menjadikan kita lebih peka terhadap isu-isu berkaitan negara. “Pastikan, pemasangan bendera adalah betul, jumlah jalur perlu ada 14. Ingatlah, kalau bukan kita yang menjaganya, siapa lagi,” katanya. Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Lestari UniMAP sebagai pengiktirafan terhadap fakulti dan pusat tanggungjawab (PTj) yang mengutamakan aspek kelestarian persekitaran, sosial dan ekonomi di tempat kerja. Beliau berharap inisiatif itu dapat menyemarakkan lagi budaya kerja hijau dalam kalangan warga universiti. Kategori fakulti dimenangi Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) dengan penarafan lima Greenleaf manakala PKK pula muncul pemenang tempat pertama bagi kategori PTj dengan penarafan empat Greenleaf. Masing-masing menerima wang tunai RM350, plak, sijil penghargaan dan hadiah iringan daripada Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) dengan tajaan E-Idaman Sdn Bhd. Tidak ketinggalan bagi Anugerah Komitmen Lestari 2025 dimenangi Mohd Hafiz Ismail dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik (FKTEN) dengan jumlah berat kutipan kitar semula berjumlah 338 kilogram (kg) dan beliau menerima plak, sijil penghargaan dan hadiah iringan COSCEM. Selain itu, turut diadakan acara penyerahan bendera kontinjen UniMAP bagi dua kejohanan besar iaitu Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKANUN) yang akan berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak dari 7 hingga 14 September serta Sukan MASUM di UniSZA dan UMT dari 14 hingga 21 September. UniMAP akan menghantar seramai 127 atlet dan staf untuk 15 acara di SUKANUN dengan sasaran satu emas, satu perak dan tiga gangsa, manakala bagi MASUM, kontinjen terdiri daripada 116 atlet dan 31 pegawai akan beraksi dalam 10 acara dengan sasaran dua emas, tiga perak dan 10 gangsa.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035