|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 kes buli dilaporkan berlaku di lapan universiti awam (UA) dalam tempoh 11 tahun sejak 2014 hingga tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kes yang dilaporkan berbentuk buli fizikal atau buli siber dengan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.
Katanya, kes boleh berpunca disebabkan faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurang pengawasan ibu bapa.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah seliaan kementerian ini.
“KPT tidak akan melindungi pelaku dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai langkah yang diambil KPT bagi mengekang kejadian buli di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).Zambry berkata, dalam konteks UA, pelajar terlibat dalam kes buli boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang diseragamkan melalui pindaan pada tahun 2024.
Menurutnya, kaedah-kaedah itu memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan dan hukuman boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman.
Jelasnya lagi, hukuman yang diperuntukkan antaranya berbentuk amaran, khidmat masyarakat mengikut peraturan yang dibuat oleh lembaga yang tidak melebihi 24 jam serta denda tidak melebihi RM500.
Hukuman lain yang boleh dikenakan ialah dilarang daripada berada dalam mana-mana bahagian kampus bagi suatu tempoh dan dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam desa siswa.
“Seseorang yang didapati bersalah atas kesalahan buli juga boleh digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang daripada universiti,” kata beliau. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |