|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR - Seramai 130 graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berjaya menamatkan pengajian di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dalam bidang seni persembahan, media digital kreatif serta pengurusan seni.
Rektornya, Profesor Dr Tan Awang Besar berkata, penghargaan diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) itu sebahagian daripada strategi pengukuhan peranan institusi sebagai pusat PSH dalam bidang seni budaya dan warisan negara, selaras Pelan Strategik ASWARA 2020-2025 serta Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
Menerusi program PSH yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu, jelas beliau, graduan bukan sahaja memperoleh kemahiran seni budaya, malah pendedahan untuk meningkatkan kebolehpasaran dengan latihan pendigitalan mengikut keperluan industri kreatif.
Pada program sama, Tan berkata, seramai 30 mahasiswa Program Mobiliti Antarabangsa Pertukaran Pelajar Guangxi Arts University China turut diraikan selepas tujuh minggu menimba ilmu di ASWARA sejak 28 Jun lalu.
“Mereka berpeluang mendalami kepelbagaian warisan seni budaya negara, memperkukuh pemahaman terhadap nilai yang membentuk identiti masyarakat Malaysia menerusi bengkel, persembahan seni dan aktiviti kolaborasi kreatif.
“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan diplomasi budaya antara kedua-dua negara, selain memupuk persefahaman silang budaya.
“Penganjuran majlis apresiasi ini bukti komitmen ASWARA dalam memajukan bakat dan kemahiran yang berkualiti tinggi, berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan industri tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Pembelajaran Sepanjang Hayat 2025 dan Majlis Penutup Program Mobiliti Pertukaran Pelajar Guangxi Arts University China, bertempat di Panggung Eksperimen ASWARA di sini pada Sabtu.
Penglibatan rakan strategik seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Yayasan Warisan Johor (YWJ) juga memberi sumbangan signifikan kepada kejayaan kedua-dua program tersebut.
Acara turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada ASWARA dan Guangxi Arts University termasuk nyanyian wakil Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berpendapat, usaha ASWARA dan Guangxi Arts University tidak hanya memperkayakan pertukaran ilmu semata-mata, malah ia pendekatan berkesan dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang pembelajaran berskala digital yang lebih luas.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pengurusan serta jawatankuasa ASWARA termasuk graduan yang menerima penghargaan,” kata beliau. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |