|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| TEMERLOH - Pahang melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan produk beras prebiotik di bawah jenama Beras Pahang yang akan berada di pasaran sepenuhnya pada September depan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengenalan produk tersebut membuktikan negeri itu serius dalam mengangkat industri padi dan beras ke tahap lebih tinggi dengan pendekatan inovasi serta teknologi.
“Beras Pahang ini bukan sekadar beras biasa, ia beras prebiotik dengan kadar gula kosong dan sesuai buat mereka yang menghidap penyakit diabetes serta pertama dihasilkan di negara ini.
"Benih pun lain dari biasa dan kita ingin promosikan beras ini ada keistimewaan tertentu berbanding beras Kedah, Selangor dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada pemberita selepas pelancaran Beras Pahang dan Pahang Best sempena perasmian Mini Program Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2025 di Dataran Temerloh di sini pada Sabtu.
Sempena Mini MAHA di sini, pengunjung berpeluang mendapatkan beras itu dengan harga RM10 sekilogram.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.
Ujarnya, keutamaan pasaran beras itu di Pahang dan akan dijual ke negeri-negeri lain bergantung kepada pengeluaran dan sambutan orang ramai.
Ditanam di Kampung Paya Telok Ganchong, Pekan membabitkan keluasan 161 hektar menggunakan varieti 269, beras itu boleh diperolehi di Pasaraya Darul Makmur (PDM) seluruh Pahang.
Mengandungi prebiotik yang membantu kesihatan usus dan penghadaman, beras itu juga rendah indeks glisemik serta tinggi serat selain lebih wangi, lembut berbanding biasa.
Sementara itu, Wan Rosdy teruja dengan sambutan memberangsangkan terhadap penganjuran Mini MAHA yang kini menghampiri hampir 100,000 orang setakat hari ketiga melebihi sasaran keseluruhan,50,000 pengunjung sebelum ini.
Jelasnya, sambutan itu membuatkan kerajaan negeri berhasrat menganjurkan MAHA sepenuhnya pada tahun depan.
"Kita akan menganjurkan acara ini setiap tahun dengan pemilihan lokasi lain pula.
"Selain mempromosikan bahan-bahan pertanian, hasil pertanian, kita boleh bagi tahu kepada rakyat Pahang dan luar bahawa inilah produk kita yang tidak ada di negeri lain dan kalau ada pun tidak sama dengan apa yang dihasilkan oleh Pahang," tambahnya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |