Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Izwan Roslin
Title :Kerajaan Pahang bangunkan Kompleks Hybrid Shipyard bernilai RM75 bilion
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :19 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang mengumumkan pembinaan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan dengan nilai pelaburan mencecah RM75 bilion, sekali gus menjadikannya projek berimpak tinggi terbesar di negeri itu. Projek pembangunan di kawasan seluas 1,010.47 ekar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Teroka Majubina Holdings Berhad. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kompleks tersebut akan dibangunkan secara berfasa dengan menampilkan tiga komponen utama. Menurut beliau, ia melibatkan Green Vessel Recycling (GVR) sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau, fasiliti pembinaan kapal yang menyediakan kemudahan pembinaan serta penyelenggaraan, dan Tank Farm Oil Platform yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan minyak dan gas. “Fasa pertama akan dimulakan dengan pembangunan Green Vessel Recycling yang dijangka mula beroperasi pada Julai 2027. “Manakala fasa kedua membabitkan fasiliti pembinaan kapal serta Tank Farm Oil Platform yang dijangka siap dan beroperasi pada Mac 2029,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara PSK Pahang dan Teroka Majubina Holdings Berhad di sebuah hotel pada Selasa. Turut hadir menyaksikan MoA berkenaan ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Wan Rosdy berkata, projek mega itu dijangka membuka sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya anak Pahang, sekali gus memberi limpahan besar kepada ekonomi negeri dan negara. “Dengan kewujudan kompleks bersepadu itu, Pahang bakal muncul sebagai hab maritim serantau, pusat kitar semula kapal berteknologi hijau serta hab minyak dan gas yang berdaya saing di rantau ini. “Pembinaan kompleks ini juga selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30). “Melalui kedua-dua gagasan ini, Pahang disasarkan muncul sebagai negeri berdaya tahan, berpendapatan tinggi, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya. Beliau berharap projek berkenaan dapat berjalan mengikut jadual sekali gus memberi impak jangka panjang sebagai mercu tanda baharu kemajuan negeri.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035