|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BENTONG – Pahang terus melakar sejarah dengan projek perintis Pangsapuri Pahangku di daerah ini membabitkan 1,000 unit sekali gus memberikan peluang kepada golongan muda di negeri ini mendapatkan kediaman dengan harga berpatutan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu memberikan harapan baharu kepada golongan terbabit yang sebelum ini sukar mendapatkan kediaman sendiri.
Menurutnya, projek yang melibatkan empat blok itu dibina berhampiran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas semua peraturan dipatuhi.
"Bentong menjadi perintis kerana menurut kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara, 63 peratus adalah anak-anak muda.
"Seperti mana komitmen kerajaan, kawasan 16 kilometer (km) radius stesen akan dibangunkan kerana jajaran KTM yang paling panjang ialah di Pahang iaitu sepanjang 224 km.
"Di Pahang terdapat tujuh stesen dan selepas ini projek sama akan menyusul di stesen-stesen lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pecah Tanah Cadangan Tapak Pangsapuriku Pahangku Daerah Bentong di Taman Awam Ujana di sini pada Isnin.
Turut hadir ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam A. Halim.
Wan Rosdy berkata, bagi lokasi projek seterusnya, beliau memberitahu kajian akan dilaksanakan dan menegaskan harga yang ditawarkan berpatutan dan tidak membebankan pembeli.
Jelasnya lagi, Bentong menjadi perintis kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Kuala Lumpur.
"Jadi anak-anak kita boleh ulang-alik ke Kuantan, boleh ulang-alik ke Kuala Lumpur dan sebagainya," tambah beliau.
Projek yang dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar itu membabitkan keluasan 900 kaki persegi setiap unit dengan tiga bilik.
Selain Bentong, enam stesen ECRL di Pahang ialah di Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |