|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama EV Plus Mobility Solutions Sdn Bhd berkaitan bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) lebih lestari, hari ini.
Kerjasama itu turut membabitkan kajian kebolehlaksanaan pemasangan pengecas EV bersepadu pada tiang lampu jalan dan infrastruktur bandar lain.
Majlis menandatangani MoA itu disempurnakan Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias dan Pengerusi EV Plus Mobility Solutions, Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.
Turut diadakan majlis pelancaran Pengecas EV Tiang Lampu (EVCS) pertama di Malaysia yang mematuhi sepenuhnya piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sekali gus menetapkan penanda aras baharu negara dalam infrastruktur hijau.
Melalui projek penyelidikan bertajuk `Electric Vehicle Charging Accessibility Through Urban Retrofitting Solutions', UMPSA memberi tumpuan kepada aspek teknikal, pembangunan model berskala serta sistem pembayaran pintar.
Manakala, EV Plus pula menyumbang kepakaran teknikal serta penyediaan komponen untuk ujian prestasi.
Dr Yatimah Alias berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen UMPSA untuk terus menerajui agenda penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat dalam bidang mobiliti lestari.
"Dengan termeterainya MoA ini, UMPSA bukan sahaja menjadi sebahagian daripada transformasi infrastruktur hijau negara, malah berperanan sebagai pemangkin dalam menyediakan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada agenda elektrifikasi dan kelestarian Malaysia.
"Kami percaya inisiatif ini akan membuka peluang besar dalam penghasilan penyelidikan berimpak tinggi serta memupuk budaya inovasi dalam kalangan warga universiti," katanya.
Sementara itu, Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi berkata, kerjasama itu bukan sekadar satu lagi pencapaian untuk EV Plus Mobility Solutions tetapi ia kejayaan nasional bagi perjalanan Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau, pintar dan lestari.
"Pelancaran pengecas EV tiang lampu pertama dengan pematuhan penuh ESG adalah lambang komitmen kita terhadap kelestarian' katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |