Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
Title :IINTAS pusat hasil kajian berkredibiliti, idea dasar, pandangan strategik
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :2 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Pelancaran Institute Of Internationalization And Asean Studies (INTAS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selari dengan tanggungjawab negara sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri menegaskan tanggungjawab itu perlu digalas dengan visi, kepimpinan dan kredibiliti terutama ketika rantau ini berhadapan situasi tidak menentu. Katanya, ASEAN yang sekian lama dihormati sebagai zon keamanan dan kerjasama kini berdepan cabaran serius dengan ketegangan antara Thailand dan Kemboja hingga menyebabkan lebih 300,000 orang dipindahkan. Jelasnya, walaupun gencatan senjata telah dicapai, rantau ini perlu terus berwaspada dan usaha memulihkan kestabilan perlu diteruskan. "Justeru Malaysia telah mengambil langkah awal dengan menganjurkan pertemuan kepimpinan Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur dan tindakan ini menggambarkan komitmen negara terhadap dialog, keamanan dan semangat kerjasama ASEAN. "Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai medan perbincangan. Kestabilan domestik dan kredibiliti antarabangsa meletakkan kita pada kedudukan untuk menjadi tuan rumah kepada dialog. "Namun, kita tidak boleh bergantung pada diplomasi sahaja. Kita perlukan institusi yang berfikir, menulis dan bertindak. Di sinilah peranan IINTAS," katanya. Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM Kampus Kuala Lumpur, di sini, hari ini. Terdahulu, selain melancarkan IINTAS, Zambry turut melancarkan Buku 'Education Of The Interior: Essays In Honour Of Professor Syed Ali Ashraf'. Mengulas lanjut mengenai IINTAS, Anwar berkata institut itu dijangka memperkukuh peranan Malaysia di peringkat serantau dengan menghasilkan kajian berkredibiliti, idea dasar serta pandangan strategik. Katanya, institut itu juga bakal bekerjasama dengan pelbagai pusat lain antaranya International Institute of Futures Studies; The Centre for Peace; Dialogue and Xenophobia Studies; The Centre for Islam Confucianism Dialogue serta rakan seperti Institut Kajian Strategim dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia). "Selain itu, IINTAS turut digesa memperkukuh hubungan dengan Rakan Dialog Strategik ASEAN termasuk Amerika Syarikat, China, India, Kesatuan Eropah, Jepun, Australia, New Zealand dan Rusia. "Hubungan ini penting dalam menentukan cara ASEAN bertindak balas terhadap cabaran global," katanya. Turut diadakan pada majlis pelancaran itu adalah seminar bertajuk ASEAN Futures: Navigating Regionalism, Reconciliation and Rapprochement. Berkenaan seminar itu Anwar berharap, ia dapat menjadi wadah refleksi dan perbincangan mendalam tentang bagaimana rantau ini harus menghadapi ketidakstabilan, membina semula kepercayaan serantau, serta merangka hala tuju masa depan. "Selain itu, seminar ini juga diharap akan mengukuhkan lagi kedudukan ASEAN sebagai sebuah komuniti serantau berasaskan nilai bersama dan kerjasama yang berterusan," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035