|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Institut Geologi Malaysia (IGM) bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan Air Bawah Tanah Antarabangsa IGM 2025 atau IGM International Groundwater Conference (IIGC) 2025 yang akan berlangsung pada 10 hingga 11 September ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Persidangan bertaraf dunia ini menghimpunkan pakar air bawah tanah dari pelbagai negara untuk membincangkan isu semasa berkaitan sumber air bawah tanah, perkembangan teknologi terkini serta strategi pengurusan mampan yang semakin penting dalam menghadapi cabaran global perubahan iklim dan keselamatan bekalan air.
Menurut kenyataan penganjur, persidangan berkenaan dianjurkan oleh Geowater Sdn Bhd dengan kerjasama IGM, UKM, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM). Ia dijangka menjadi medan penting perkongsian ilmu, penyelidikan dan pengalaman antara pakar, pembuat dasar, pelajar serta industri berkaitan.
Antara organisasi antarabangsa ternama yang akan hadir sebagai penceramah jemputan termasuk International Groundwater Resources Assessment Centre (IGRAC), iaitu agensi tunggal di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang khusus menilai sumber air bawah tanah global; International Association of Hydrogeology (IAH), persatuan terbesar pengamal air bawah tanah antarabangsa; serta Deltares dari Belanda yang terkenal dengan penyelidikan bertaraf dunia dalam bidang pengurusan air dan persekitaran.
Turut serta ialah Queensland University of Technology (QUT), Australia, yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan sains alam sekitar, serta Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan awam terkemuka rantau Asia Tenggara. Kehadiran institusi berkenaan dijangka memberi nilai tambah dalam merangka penyelesaian praktikal dan inovatif untuk pengurusan air bawah tanah.
Persidangan ini akan dimulakan dengan bengkel pra-acara pada 10 September yang menumpukan topik Geokimia dan Geofizik, dua bidang penting dalam memahami sistem air bawah tanah. Sesi utama persidangan pula berlangsung pada 11 September di Auditorium AST Teknopolis, UKM Bangi dengan pembentangan kajian, perbincangan panel dan sesi rangkaian.
Air bawah tanah dilihat semakin kritikal sebagai sumber utama bekalan air bersih di banyak negara, termasuk Malaysia, terutama bagi kawasan luar bandar dan sektor pertanian. Namun, tekanan akibat permintaan tinggi, pencemaran, serta kesan perubahan iklim menuntut pengurusan lebih berkesan dan mampan. Justeru, peranan persidangan ini penting untuk mencari penyelesaian yang boleh diguna pakai di peringkat tempatan dan global.
"Persidangan ini bukan sahaja menjadi medan pertukaran pengetahuan, malah membuka peluang kepada pelajar dan generasi muda dalam bidang geologi dan hidrogeologi untuk berinteraksi dengan pakar antarabangsa. Ini akan memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan menyokong aspirasi negara melahirkan lebih ramai pakar dalam pengurusan sumber air," kata penganjur dalam satu kenyataan.
Persidangan juga sejajar dengan usaha Malaysia memastikan keselamatan air negara terjamin di masa depan, selain menyokong agenda global berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi.
Dengan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk institusi akademik, agensi kerajaan dan penyelidik antarabangsa, IIGC 2025 dijangka menghasilkan rangka kerja kerjasama lebih erat, perkongsian teknologi baharu serta cadangan dasar yang relevan dengan cabaran semasa dan masa depan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |