Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Sultan Pahang tidak mahu Felda dijadikan 'sarang' dadah
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :20 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JENGKA - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap masalah dadah di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini dan tidak mahu tanah rancangan itu dijadikan 'sarang' dadah. Baginda bertitah demikian berikutan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan daripada 4,204 penagih yang direkodkan di Pahang, sebanyak 1,317 orang membabitkan kawasan Felda termasuk 264 orang dikenal pasti dari Felda Jengka. "Felda asalnya adalah lambang kejayaan negara, tanah subur yang melahirkan generasi peneroka. "Saya tidak mahu warisan ini terus dicemari gejala hitam. Kembalikan maruahnya sebagai tanah berkat yang melahirkan generasi teguh, berilmu dan berakhlak,” titah baginda. Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah peringkat negeri di Dewan Balora Mastika di sini hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kepimpinan Felda supaya mengambil serius isu berkenaan dan tidak hanya menumpukan kepada keuntungan atau kepentingan politik semata-mata. "Masalah dadah sudah berleluasa dalam kalangan anak muda di Felda. Pemimpin atasan perlu lebih bertanggungjawab bagi memastikan gejala ini dapat dibendung. Saya berharap kehadiran saya hari ini menjadi noktah kepada masalah dadah,” titah baginda. Sementara itu, baginda turut menegaskan penguatkuasaan di sempadan laut perlu diperkukuh dengan kerjasama erat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan komuniti setempat supaya perairan negara tidak menjadi pintu masuk najis dadah. Baginda bertitah, sindiket penyeludupan menggunakan pelbagai cara termasuk bot nelayan, kapal dagang dan perahu kecil untuk membawa masuk bahan terlarang itu dari luar negara sebelum didaratkan di pantai dan muara terpencil. "Pahang dengan garis pantai yang panjang dari Rompin hingga Cherating, menjadi sasaran sindiket yang licik. Ada yang berpura-pura sebagai nelayan, sedangkan jaring mereka bukan untuk ikan tetapi untuk jerat anak bangsa dengan najis dadah. "Dari laut inilah bekalan itu kemudiannya menular ke darat, meresap ke bandar dan desa, menjerat belia, pelajar bahkan pekerja yang sepatutnya menjadi tulang belakang negeri,” titah baginda. - Bernama 
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035