|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan 'Selamat Menyambut Hari Malaysia' kepada seluruh rakyat jelata di negara ini khususnya negeri Pahang
Baginda berdua bertitah, hari yang penuh bermakna itu mengingatkan kepada semangat perjuangan, pengorbanan dan kesepakatan para pemimpin serta pejuang terdahulu yang telah mengikat janji membina sebuah negara bangsa yang merdeka, berdaulat dan harmoni.
Paduka Baginda berdua turut bertitah supaya rakyat sentiasa ingat kepada pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
"Marilah kita bangkit bersama menuju kejayaan demi tanah air tercinta berbekalkan jiwa yang besar dan semangat waja.
"Setiap titisan keringat yang tumpah pada masa kini adalah bekalan bagi masa depan bangsa yang lebih gemilang," titah baginda berdua melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Titah baginda berdua lagi, kasih kepada negara bukan sekadar kata-kata tetapi perjuangan untuk melihat tanah air terus merdeka dan berjaya.
Menurut baginda, negara yang kuat lahir daripada rakyat yang bersatu, berdisiplin dan berusaha tanpa mengenal penat.
Dalam hantaran itu juga, baginda berdua mengimbau kenangan manis semasa 'Kembara Kenali Borneo' dua tahun lalu yang masih segar dalam ingatan hingga kini.
Pengalaman manis itu telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara baginda, rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sekali gus melambangkan semangat sebenar Hari Malaysia.
"Semoga Malaysia terus hidup dalam suasana aman dan makmur, dilimpahi keamanan serta kesejahteraan.
"Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat muhibah, meningkatkan rasa tanggungjawab dan cinta akan tanah air agar Malaysia terus melangkah maju menjadi sebuah negara yang dihormati di persada dunia.
"Selamat Hari Malaysia," titah baginda berdua.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengucapkan 'Selamat menyambut Hari Malaysia' kepada rakyat negeri ini.
Melalui kenyataan di Facebooknya, beliau juga berkata, Hari Malaysia bukan sekadar sambutan, tetapi merupakan simbol kesepaduan dan semangat kekitaan yang telah membawa kita ke tahap pembangunan dan kemajuan hari ini.
"Ia adalah pengiktirafan terhadap jasa pemimpin terdahulu, pengorbanan rakyat pelbagai kaum, serta usaha gigih semua pihak dalam memelihara keharmonian dan kestabilan negara.
"Marilah kita menghayati semangat Hari Malaysia dengan lebih mendalam, bukan sekadar melalui perarakan atau laungan semangat, tetapi dengan turut memainkan peranan aktif sebagai warganegara yang bertanggungjawab, berilmu dan beretika," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |