|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SINTOK: Pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, yang kisahnya tular kerana hadir mendaftar sendirian selepas kehilangan kedua ibu bapa, akan diberi pengecualian penuh yuran sehingga tamat pengajian melalui Program SULUNG.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata menerusi inisiatif khas itu, Putera Iman Shah bukan saja ditanggung yuran pengajiannya, malah menerima wang saku bulanan untuk menampung kehidupan di kampus.
"Program SULUNG ini inisiatif khas kita membantu anak pertama dalam keluarga yang berjaya ke menara gading, kita mahu pastikan beliau dapat belajar dengan tenang tanpa terbeban dengan masalah kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbualan secara dalam talian bersama Putera Iman Shah yang berlangsung di pejabatnya hari ini, yang turut disertai Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.
Dalam panggilan itu, Dr Zambry menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ibu bapa Putera Iman Shah dan menyifatkan ketabahannya sebagai sumber inspirasi.
"Semangat cekal dalam diri Putera Iman Shah menjadi kekuatan untuk terus belajar dan mencapai kejayaan.
"Teruskan usaha, insya-Allah pada masa depan mampu menjadi pemimpin yang hebat," katanya.
Dr Zambry berkata, pihak UUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi sokongan berterusan termasuk penginapan, kelengkapan komputer riba dan perbelanjaan asas.
Katanya, inisiatif itu selaras usaha KPT memastikan tiada pelajar tercicir akibat masalah kewangan atau cabaran hidup.
Beliau turut memberi jaminan pelajar lain yang menghadapi kesukaran sama boleh menghubungi pihak universiti atau terus ke KPT bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
"Kita bantu sedaya upaya, yang penting belajar bersungguh-sungguh dan apabila berjaya kelak, kembali menyumbang kepada masyarakat serta negara," katanya.
Pada masa sama, Dr Zambry menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan UUM yang pantas menjejaki Putera Iman Shah sejurus kisahnya mendapat perhatian umum.
Katanya, tindakan segera universiti itu mencerminkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan pelajar khususnya yang berdepan cabaran luar biasa.
Semalam, kisah Putera Iman Shah yang juga anak tunggal yatim piatu mencuri perhatian ramai apabila gambarnya hadir seorang diri mendaftar sebagai mahasiswa baharu UUM tular di media sosial.
Kesedihan Putera Iman Shah yang kehilangan ibu sejak Tingkatan Satu dan bapanya pula meninggal dunia pada bulan lalu, sedikit terubat apabila disambut mesra kakitangan UUM ketika dia tiba di Stesen Keretapi Arau, Perlis pada jam 12.15 tengah hari semalam. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |